Home Politik Henti berbalah, fokus menang di Port Dickson, kata Azmin

Henti berbalah, fokus menang di Port Dickson, kata Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuh sokongan di Selangor apabila kekal mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli pada fasa kedua pemilihan parti yang berlangsung di tujuh cabang di Selangor hari ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata pandangan serius beberapa pemimpin tertinggi parti terhadap pengosongan kerusi Port Dickson harus diberikan perhatian.

Ujarnya, dakwaan bahawa keputusan untuk memberikan laluan kepada Datuk Seri Anwar untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang dibuat oleh beberapa individu juga harus dikaji semula kerana ia melibatkan kredibiliti parti di mata ahli.

“Saya percaya perkara ini boleh kita selesai dalam muafakat parti supaya tidak berlaku, terlepas pandang seperti ini pada masa akan datang,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Azmin berkata demikian selepas sesi perjumpaan dengan anggota dan pemimpin PKR dari Wilayah Utara, semalam.

Dalam pada itu, Azmin berkata kepimpinan parti itu harus menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha untuk memenangkan Anwar di PRK Port Dickson.

Katanya, sepenuh tumpunan harus diarahkan kepada Port Dickson bagi menggerakkan jentera dan bukannya berbalah sesama sendiri mengenai langkah pengosongan kerusi itu yang dibuat penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

“Saya rasa tumpuan kita sekarang untuk memastikan kerusi Port Dickson itu kekal di tangan Pakatan Harapan melalui PKR dan saya telah menggesa anggota parti untuk bersatu dan bekerja kuat bagi mengekal kerusi itu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Wanita PKR, Zuraida kamaruddin mendakwa keputusan Danyal mengosongkan kerusi untuk Anwar hanya dibincang oleh kelompok tertentu.

Zuraida turut mempersoalkan ketelusan proses membuat keputusan oleh pemimpin parti itu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

“Tindakan yang dibuat sesetengah pemimpin PKR dilihat dangkal kerana tidak mengikut saluran betul dalam memutuskan untuk mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson.

“Setiap keputusan perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi,” ujar Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain Zuraida, Naib Presiden PKR, Tian Chua juga mendakwa tidak pernah dimaklumkan berhubung keputusan parti mengosongkan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Beliau yang turut menghadiri mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu berkata, tiada seorang pun dalam biro terbabit boleh mengesahkan secara tepat keputusan berkenaan dicapai pada malam berkenaan.

Rabu lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Anwar yang juga Presiden PKR yang baharu dipilih akan bertanding di PRK Parlimen Port Dickson.

Penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah telah meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar. -MalaysiaGazette