Home Utama Langkah Port Dickson: Semarak bibit nepotisme – Ambiga

Langkah Port Dickson: Semarak bibit nepotisme – Ambiga

Ahli Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ), Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap ketika membentangkan laporan berkenaan kematian membabitkan mereka yang ditahan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Best Western Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 14 SEPTEMBER 201
Ahli Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ), Datuk Ambiga Sreenevasan bercakap ketika membentangkan laporan berkenaan kematian membabitkan mereka yang ditahan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Best Western Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 14 SEPTEMBER 2018.

PETALING JAYA – Langkah Port Dickson yang menjadi plaftorm untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim melunaskan impian menjadi perdana menteri dilihat membuka ruang yang besar untuk mewujudkan bibit-bibit nepotisme.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenivasan berkata, perkembangan seperti itu tidak seharusnya terjadi sebaliknya keluarga Anwar iaitu isterinya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail atau anaknya, Nurul Izzah sepatutnya bersedia melepaskan kerusi masing-masing untuk ditandingi oleh Anwar.

Ambiga yang mengulangi pendirian bahawa Langkah Port Dickson itu mempunyai potensi nepotisme mengakui tidak ada masalah jika ketiga-tiga ahli keluarga itu menjadi ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, yang menjadi masalah adalah soal memegang jawatan dalam kerajaan.

“Jika Anwar menjadi perdana menteri seperti yang dipersetujui Pakatan Harapan, maka Wan Azizah yang memegang portfolio timbalan perdana menteri selain menteri Kabinet perlu berundur.

“Lagipun saya tidak ada masalah untuk Anwar menjadi ahli Parlimen, sebab itu yang telah diatur dan dipersetujui dalam manifesto dan PH itu sendiri.

“Tetapi pada pemahaman saya dan juga rakyat seperti saya juga menganggap salah seorang ahli keluarga yang seharusnya berundur dan memberi laluan kepada Anwar di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku Laporan Lawyers for Liberty bertajuk 5 Faces : A Story of Police Custodials Deaths in Malaysia hari ini.

Dalam perkembangan sama Anggota Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) itu juga menyatakan rasa terkejut dengan tindakan bekas ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu.

“Sukar untuk percaya kerana baru sahaja beberapa bulan bertugas selepas dipilih rakyat pada PRU14 lalu tetapi sudah berundur.

“Tidak adil untuk memaksa seseorang letak jawatan walaupun dia mengakui bukan secara paksaan, tetapi mendesak sehingga orang lain berundur secara peribadinya saya rasa tak adil, sepatutnya hormati sistem dan integriti pilihan raya negara,” dakwanya.

Katanya, beliau bersimpati dengan pengundi Port Dickson yang terpaksa mengundi sekali lagi sambil melahirkan rasa bingung kerana gagal memahami keadaan terdesak untuk mengadakan PRK kali ini.

“Saya rasa kerajaan perlu letakkan pengakhiran untuk kaedah PRK sebegini di masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan boleh dikenakan keatas Danyal atas perbuatannya itu, Ambiga bagaimanapun berkata, agak sukar secara teknikal dan undang-undang mengatasi masalah itu.

“Saya rasa tindakan dia itu sudah menghukum dirinya, dia tidak boleh bertanding pada PRU akan datang mengikut undang-undang yang ditetapkan kalau tak silap saya, dia tanggung akibatnya,” katanya.

Menurut beliau, bibit-bit nepotismen dalam Pakatan Harapan secara menyeluruh perlu diberi perhatian serius sebagaimana mereka di dalam pembangkang dahulu yang menentang kerajaan kerana amalan nepotisme dan kronisme.

“Sekarang mereka adalah kerajaan dan perlu walk the talk apa yang diperjuangkan sebelum ini dengan tidak memberi ruang kepada unsur nepotisme mempengaruhi partinya,” tegas beliau lagi.

Reaksi bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu menyusul selepas Wan Azizah semalam menolak wujudnya unsur nepotisme dengan alasan bahawa ia adalah pilihan pengundi dan tidak wujud masalah tiga ahli sekeluarga menjadi wakil rakyat. – MalaysiaGazette