KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mewujudkan whistle blowing policy (polisi pendedahan maklumat) kepada penjawat awam agar segala salah laku di setiap organisasi dalam jabatan kerajaan boleh diambil tindakan.
Perkara itu harus dilakukan sebagai langkah untuk menjaga imej dan integriti jabatan kerajaan selain membendung penyalahgunaan kuasa oleh individu tertentu di dalam organisasi, kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.
Menurut beliau, perkara itu telah dibuat oleh pihak swasta serta syarikat-syarikat dan ia wajar untuk dilaksanakan di dalam organisasi kerajaan.
“Kalau syarikat-syarikat ada buat, pasal apa kerajaan tak buat.
“Whistle blowing adalah perkara yang perlu dilaporkan kepada individu yang betul. Kita ada emel dan nombor telefon untuk whistle blower hubungi, dan orang yang menerima aduan tidak boleh dedahkan pemberi maklumat itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan Seminar Pengasingan Kuasa:Di mana Garisan Neutraliti Penjawat Awam, di Institut Tadbiran Negara (INTAN) di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada penjawat awam daripada pelbagai jabatan kerajaan mengikuti seminar yang berlangsung selama dua jam.
Dalam pada itu, Zaki berkata, dasar yang diguna pakai juga perlu melindungi pemberi maklumat agar pelapor tidak merasa bimbang akan kedudukannya sebagai penjawat awam lebih-lebih ketakutannya jika dikenakan tindakan.
“Kalau benda tu betul (salah laku atau penyelewengan) ia adalah menjadi tugas dan kewajipan penjawat awam untuk melapor benda yang ta betul kepada pihak yang tertentu.
“Kalau dia tak buat bermakna dia tak melaksana tugasnya. Whistle blawing adalah perkara yang perlu dilaporkan kepada individu yang betul,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan agar dasar itu tidak disalahgunakan oleh penjawat awam untuk mewujudkan fitnah terhadap individu tertentu dengan tujuan untuk menganiaya.
Jelas beliau, sekiranya perkara itu berlaku tindakan tegas harus dikenakan kepada mereka yang bertanggungjawab selepas siasatan terhadapnya dibuat dan itulah yang dinamakan sebagai dasar whistle blower.
Ketika ditanya wartawan mengenai pihak yang wajar dilantik mewakili whistle blower, Tun Zaki berkata, tugas itu boleh diserahkan kepada siapa sahaja yang berkelayakan.
“Tidak kisahlah siapa yang bertanggungjwab itu, KSN (Ketua Setiusaha Negara), menteri,” kata beliau. – MalaysiaGazette