KUCHING – Polis menahan seorang pembantu gymnasium bagi membantu siasatan berkaitan satu catatan di media sosial yang menyiarkan ancaman bunuh terhadap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, di Kota Samarahan, kira-kira 30km dari sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dennis Leong berkata, lelaki berumur 32 tahun itu dipercayai menggodam akaun Facebook orang lain untuk menyiarkan ancaman itu.
Beliau berkata sIasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan di Miri berhubung catatan itu pada 7 Sept lepas, dan siasatan pada mulanya mendapati cacatan itu mungkin dibuat oleh seorang individu di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun menurutnya siasatan lanjut seterusnya mendapati akaun facebook itu mungkin digunakan oleh seorang individu dari Sarawak.
“Kira-kira pukul 4.30 petang semalam satu pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mengesan lelaki itu dan menahannya di Kota Samarahan. Suspek bekerja sebagai pembantu gymnasium dan kini ditahan reman selama empat hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dennis berkata polis percaya individu itu sengaja cuba mengainaya pemilik akaun media sosial berkenaan disebabkan rasa cemburu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.