PETALING JAYA – Manifesto Pakatan Harapan (PH) boleh dikaji semula kerana tiada ketetapan ia tidak boleh diubah sama sekali, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.
Bersetuju untuk ia dikaji semula, Maria berpendirian ia perlu menjurus kepada penambahbaikan dan perubahan mengikut kesesuaian khususnya kedudukan kewangan kerajaan.
“Manifesto bukan ditetapkan untuk tidak boleh diubah. Jadi apa yang dikatakannya (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) betul. Kita boleh kaji semula untuk kita tambah baik.
“Kita kena kaji dan kalau ada perubahan mengikut situasi bila kita buat manifesto kita tidak ada informasi yang cukup kan sekarang kita tahu, kena sesuaikan dengan bajet dan ekonomi,” katanya kepada pemberita.
Maria berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Pejabat Bergerak Parlimen Petaling Jaya yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Syamsul berpendapat, sekalipun manifesto akan dikaji ia merupakan satu langkah yang baik berbanding memansuhkannya.
“Apa yang Tun M kata kalau dilaksanakan secara menyeluruh ada masalah-masalah yang timbul, tetapi makanya kita akan lihat dari sudut berbeza yang kita perlu tambah baik beberapa manifesto. Kita nak tambah baik bukan nak dilupakan, kita fikir itu untuk kebaikan rakyat kita buatlah,” ujarnya.
Semalam Mahathir, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), mengakui bahawa manifesto PH menimbulkan masalah dan boleh merugikan negara jika dilaksanakan. – MalaysiaGazette