Home Utama Anwar tetap pendirian sokong Tun Mahathir 100%

Anwar tetap pendirian sokong Tun Mahathir 100%

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada program Dialog Anak Muda dan Pelancaran Buku ‘A People’s History Of Malaysia’ di Corus Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau memberi sokongan seratus peratus kepada pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Umum PKR itu turut menyeru rakyat memberi peluang kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu untuk memerintah negara.

“Sekarang Tun Dr Mahathir baru jadi Perdana Menteri selama empat bulan, bagi peluang dia perintah dengan baik, kita sokong dia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, di sini, hari ini.

Beliau mengulas soalan daripada seorang hadirin yang mahu mengetahui wawasannya sebagai bakal Perdana Menteri kelapan.

Mengulas lanjut Anwar berkata, apa sahaja dasar yang diumumkan Dr Mahathir semasa memerintah adalah dasar secara bersama Pakatan Harapan (PH) dan beliau secara peribadi.

“Ruang sekarang ini adalah untuk beri sokongan padu, saya nak kerajaan PH kuat dihormati dan boleh laksanakan perubahan.
“Sekarang giliran Tun Dr Mahathir, kita sokong, saya beri dia 100 percent support,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dasar kerajaan terhadap negeri di bawah pemerintahan pembangkang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, Anwar yang dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Port Dickson berkata, dasar kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir dan beliau sendiri adalah tidak akan meminggirkan mana-mana daerah dalam negara.

“Masa Pilihan Raya Umum lepas, tak kisahlah sama ada mereka sokong atau tidak…kita hormati hak mereka, dari segi perlembagaan tanggungjawab kerajaan adalah untuk membantu rakyat tanpa kira fahaman politik dan agama.

“Mudah-mudahan dengan pelaksanaan (dasar) esok, terbuka hati Kelantan (antara lain) dan rujuk kita,” katanya. – MalaysiaGazette