Home Utama Gabungan Pas, UMNO mampu tewaskan PH

Gabungan Pas, UMNO mampu tewaskan PH

Yusni Mat Piah
Perwakilan dari Pulau Pinang, Yusni Mat Piah

KUALA LUMPUR – Gabungan Pas dan UMNO mampu menegakkan sebuah pakatan pembangkang yang kuat meskipun pernah bersengketa dalam peristiwa Memali sebelum ini.

Perwakilan Pulau Pinang, Yusni Mat Piah berkata, bagaimanapun langkah itu hanya boleh dicapai sekiranya kedua-dua parti menggunakan perancangan yang teliti kerana banyak kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru.

“Demi survival Islam, demi untuk memastikan kita hendak menyelamatkan rakyat, yang hari ini ditipu, yang hari ini kita lihat kos hidup terus membelit rakyat, maka kita hendak memastikan perkara ini insyaAllah direalisasikan.

“Luka besar itu (peristiwa Memali) kita lupa dan kita berlapang dada. Mengambil apa yang ditunjukkan oleh Nabi kita S.A.W,” katanya ketika berbahas pada Muktamar Tahunan Pas Pusat di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Beliau yang juga anak kepada salah seorang syuhada Memali berkata, taawun siyasi (tolong menolong) mesti dilihat dengan lebih mendalam ke arah mengadapi PRU15.

Katanya, ia perlu bagi memastikan blok pembangkang menumpukan strategi satu lawan satu untuk menewaskan PH supaya kelangsungan Islam di Malaysia dapat diteruskan.

Namun jelasnya, beliau menyerahkan semua itu kepada kebijaksanaan pimpinan bagi memutuskan segala perkara penting demi kebaikan Islam dan mempercayai keputusan yang dibuat.

Wakil Rakyat Penaga itu juga mengimbau kenyataan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang disiarkan di dalam majalah Asia Week pada 1984 di mana beliau menegaskan UMNO mesti menerima Islam bagi penyelesaian masalah perpecahan umat Islam.

Abdul Hadi ketika itu memberi kata putus bahawa bagi merealisasikan hal tersebut, Al-Quran dan hadis mesti diutamakan oleh UMNO. – MalaysiaGazette