BRUSSELS – Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam di bahagian kepala oleh seorang lelaki tidak dikenali secara rambang di Parc Maximilien, Belgium hari ini.
Agensi melaporkan, kawasan itu yang juga merupakan tumpuan pendatang dan pelarian terutamanya dari Afrika Utara dikatakan sentiasa menjadi tumpuan pihak berkuasa dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurut jurucakap polis, Van Der Keere, anggota yang diserang itu sempat bertindak balas dengan melepaskan tiga das tembakan yang mengenai suspek.
“Identiti suspek kita masih lagi dalam siasatan polis. Motif serangan juga belum kita ketahui tetapi pada masa yang sama kita tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk serangan pengganas.
“Anggota polis dan suspek kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan, keadaan masih dalam kawalan,” katanya kepada media.
Polis juga menyebut, sebelum insiden itu, anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan ‘panas’ tersebut dikatakan meminta suspek yang sedang berbaring di laluan pejalan kaki untuk bangun.
Bagaimanapun, suspek pada awalnya tidak mengendahkan arahan tersebut sebaliknya terus berpura-pura tidur sebelum dibangunkan oleh anggota berkenaan.
Selang beberapa lama, secara tiba suspek mengeluarkan sebilah pisau sebelum bertindak menikam anggota berkenaan pada bahagian kepala sehingga menyebabkan cedera parah.
Namun demikian, anggota berkenaan mengeluarkan pistol dan menembak mangsa bagi tujuan mempertahankan dirinya. – Malaysia Gazette