Home Politik Anwar cepat jauhkan diri dari Dr Mahathir, DAP

Anwar cepat jauhkan diri dari Dr Mahathir, DAP

Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Nor Adam berucap ketika Himpunan Anti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di hadapan Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar IBrahim dinasihati supaya segera menjauhkan diri daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan rejim DAP yang mahu menjahanamkan negara.

Presiden Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) Datuk Lokman Nor Adam berkata, Presiden PKR itu perlu bertindak segera membuat persiapan ke arah itu.

Beliau mendakwa pihaknya bersama rakyat akan menolak beliau menjadi Perdana Menteri jika terus bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau resah dengan pendirian anwar yang membisu terhadap PH yang tidak konsisten dan bijak dalam mentadbir urus negara melibatkan soal cukai dan pelaburan negara.

“Anwar belum bersekongkol dengan Mahathir, betul tak? Dialah dulu paling lantang menyoal duit RM2.9 bilion oleh Mirzan yang membeli San Miguel tetapi hari ini sepatah haram pun tak tanya.

“Tak berbunyi langsung bila San Miguel membeli Petron, Mirzan selaku anggota Lembaga Pengarah Petron diberi peluang bekal minyak petron untuk kenderaan kerajaan. Itupun anwar membisu tanpa kenyataan.

“Kita memberi amaran kepada Anwar supaya bersiap sedia segera menjarakkan diri daripada Perdana Menteri, tinggalkan DAP,” katanya kepada pemberita di ibu negara.

Beliau bercakap demikian kepada media selepas menyertai Himpunan bantah SST oleh Pemantau, Gerakan Suara Rakyat di hadapan Pusat membeli belah Kompleks Pertamaa di sini.

Himpunan itu hanya disertai kira-kira 50 orang terdiri daripada NGO Pemantau, Gerakan Suara Rakyat dan beberapa NGO lain dengan mengangkat plakad tertera ‘bantah SST(slow slow tipu), SST hanya sebatas mimpi, ini maruah kami, Melayu Bangkit Hidup Rakyat, sambil bersorak lawan tetap lawan, undur PH.

Lokman berkata, karier politik Anwar akan terjejas jika terus bersama DAP.

“Jangan sampai rakyat membuat keputusan.. lepas ini kalau dia tidak dengar nasihat kami dan terus bersama DAP dan menjadi PM, kita rakyat akan menolak beliau.

“Kalau boleh (Anwar) sila buat keputusan segera dan tinggalkan DAP, kita boleh maafkan Datuk Seri Anwar kerana kita tahu dia pernah dizalimi sebelum ini.

“Kalau dia (Anwar) terus berdiam dan membiarkan Mahathir berkuasa, Kita akan lawan, tetap lawan habis-habisan demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan bahawa pembangkang Barisan Nasional perlu menjelaskan kepada rakyat dengan fakta sebenar tentang situasi negara yang tenat di bawah Pakatan Harapan.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan perlu ditamatkan perkhidmatan dengan kadar segera mengelak rakyat terus disengsarakan dengan cukai jualan (SST) kuno yang hanya menguntungkan serta ‘melarikan’ peniaga daripada membayar cukai.

“Kalau PH dibiarkan terus memerintah selama lima tahun akan datang, negara sudah hancur sepenuhnya semasa kita mengambil alih semula kerajaan nanti (PRU15).

“Kita tidak perlu menyebarkan politik berfitnah dan berasaskan persepsi semata-mata seperti yang dilakukan mereka (PH) semasa menjadi pembangkang.

“Hari ini di setiap saat, minit dan hari, PH melakukan kesilapan dan kita pembangkang serta rakyat perlu menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin untuk menyedarkan rakyat bangkit menentang semula,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan pendirian untuk mempertimbangkan tindakan undang undang ke atas polis kerana didakwa dianiaya apabila pembesar suara dirampas semasa perarakan mendesak Peguam Negara Tommy Thomas 7 September lalu.- MalaysiaGazette