Home Utama Tidak betul kata sokong Anwar langgar perlembagaan -Asyraf

Tidak betul kata sokong Anwar langgar perlembagaan -Asyraf

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ashraf Wajdi Dusuki diiringi Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan (kiri) bercakap pada sidang media selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Parti tidak boleh mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli mahupun pemimpin yang menyokong keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti perlu mencerminkan keterbukaan terhadap isu ini.

“Setakat kalau saya kata saya sokong Anwar Ibrahim hari ini, adakah kenyataan itu dianggap sebagai pelanggaran disiplin, saya rasa itu tidak betul.

“Kerana bagi saya, kita boleh menyatakan sokongan kepada sesiapa sahaja. Macam apa yang kerajaan PH buat betul, kita kata betul. Tidak seharusnya jadi pembangkang kita kena bangkang sepanjang masa,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Asyraf merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Arau, Tan Sri Shahidan Kasim yang menyatakan sokongan secara terbuka terhadap Anwar untuk bertanding di PRK Port Dickson.

“Kalau ada pelanggaran disiplin saya rasa mana-mana parti akan ada prinsip dan disiplin. Maka tidak boleh kita nak bertanding atas tiket lain tapi kita masih lagi sebagai pemimpin UMNO,” katanya.

Nazri pada Sabtu lalu berkata beliau serius untuk menyokong Anwar dan PKR sebagai satu jalan untuk mengembalikan UMNO sebagai kerajaan.

Malah Shahidan yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mereka lebih mengenali Anwar berbanding pemimpin lain dalam kerajaan Pakatan Harapan sekarang. -MalaysiaGazette