Home Nasional Jamal mengaku tidak bersalah

Jamal mengaku tidak bersalah

Jamal Md. Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sambil diiringi pegawai polis hadir untuk didakwa dibawah akta imigresen kes lari sembunyi di Indonesia dan akan dituduh dibawah seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar tidak melalui tempat yang sah di Mahkamah Seysen Ampang, Jalan Pandan Utama, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2018

AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini mengaku tidak bersalah atas kesalahan keluar negara mengikut pintu tidak sah.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali di Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini.

Jamal yang diwakili peguamnya, Datuk Imran Tamrin dan Datuk Sulaiman Ismail meminta kes itu dibicarakan.

Imran kemudiannya meminta mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan anak guamnya memandangkan Jamal sudah mendepositkan wang jaminan sehingga RM20,000 di mahkmah sebelum ini dalam kes lain.

Majistret Mohamad Firdaus begaimanapun membenarkan permohonan wang ikat jamin itu dikurangkan daripada RM6,000 kepada RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mohamad Firdaus juga menetapkan 24 September ini sebagai tarikh untuk peguam Jamal menyerahkan dokumen kes berkenaan.

Imran turut meminta mahkamah memulangkan pasport perjalanan antarabangsa Jamal yang kini dijadikan bahan kes.

Bagaimanapun Mohamad Firdaus memberitahu, pasport perjalanan Jamal itu bukan di bawah bidang mahkamah sebaliknya permohonan itu perlu diajukan kepada pihak polis.

Jamal hari ini didakwa di bawah Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan keluar negara tidak melalui tempat yang sah. – MalaysiaGazette