KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, representasi yang terlalu banyak mengaitkan Lim Guan Eng berhubung dakwaan rasuah menyebabkan kes Menteri Kewangan itu digugurkan.
Perdana Menteri berkata, ia tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan desas desus kononnya Peguam Negara, Tommy Thomas mahu meletak jawatan.
Malah, ia juga (kes itu) tidak boleh disamakan dengan kes melibatkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.
“Kes Guan Eng itu tidak boleh disamakan dengan skandal melibatkan Mohamad Khir Toyo.
“Terdapat kritikan tetapi seperti yang anda ketahui kerajaan sebelum ini memangsakan semua pembangkang.
“Mereka memilih untuk tujuan khusus bagi menyingkirkannya (Tommy Thomas),” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Industri Perbekalan Industri Elektrik (CEPSI) 2018 di sini hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Tommy meletak jawatan susulan kritikan kepada Pejabat Peguam Negara kerana menggugurkan kes dakwaan rasuah terhadap Guan Eng kerana membeli hartanah bawah harga pasaran.
Laporan itu disiarkan di sebuah laman portal hari ini.
Bagaimanapun, laporan tersebut ditarik balik dan sidang pengarangnya turut memohon maaf selepas Tommy menafikan dakwaan itu.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu mengkaji semula langkah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang yang tangkap kerana menyediakan minyak menggunakan unsur kanabis.
“Saya fikir kita harus mengkaji semula itu,” ujarnya.
Akhir bulan lalu, seorang seorang graduan yang sedang menjalankan praktikal ditangkap ketika menyediakan ubat-ubatan untuk merawat pesakit yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Rata-rata mereka yang mencuba produk ciptaan graduan itu sembuh seperti sediakala.
Semasa ditangkap pihak berkuasa menemui dadah jenis ganja yang telah diolah dalam bentuk cecair (minyak) dan dua kilogram ganja hampas kering turut ditemukan dikediamannya. – MalaysiaGazette