Home Akhbar Cina Levi RM3,000 adalah lebih munasabah, kata Kor Ming

Levi RM3,000 adalah lebih munasabah, kata Kor Ming

Isu levi pekerja asing yang dinaikkan kepada RM10,000 seorang setahun berbanding kadar tertinggi RM1,850 pada masa ini terus mencuri perhatian.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja asing tidak mungkin dapat menanggung levi setinggi RM8,000 setahun. - foto hiasan

IPOH – Isu levi pekerja asing yang dinaikkan kepada RM10,000 seorang setahun berbanding kadar tertinggi RM1,850 pada masa ini terus mencuri perhatian.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengakui kadar baharu yang diumumkan Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran itu sebagai “sedikit mahal” dan berpendapat RM3,000 adalah lebih sesuai.

Kor Ming yang juga Ketua DAP Perak berkata, beliau telah memanjangkan cadangannya kepada Kulasegaran.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, sasaran kerajaan ialah menurunkan jumlah pekerja asing dalam pasaran kerja kepada 15 peratus pada 2023 supaya sekurang-kurangnya 85 peratus pekerjaan diisi pekerja tempatan.

Kor Ming justeru mahu majikan mengutamakan pekerja tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Menurutnya, kerajaan baharu juga mendengar suara rakyat dan memutuskan untuk memanjangkan tempoh perkhidmatan pekerja asing yang mempunyai permit kerja 10 tahun.

Kor Ming yang juga penasihat Persatuan Pembuat dan Penjual Perabot Perak dipetik Sinchew Daily ketika berucap dalam majlis ulang tahun persatuan itu di Ipoh.

Menurut Kor Ming, Malaysia pernah menjadi antara lima pengeksport perabot utama dunia, tetapi kedudukan Malaysia telah menurun ke tempat kesembilan berikutan kemunculan pesaing baharu seperti Vietnam dan Mexico.

Katanya, kerajaan sedia mendengar masalah pengusaha dan menyediakan bantuan melalui penggubalan dasar dan juga pemberian peruntukan. – MalaysiaGazette

Baca Selanjutnya:

Majikan lebih terkejut daripada bergembira