KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Sekijang, Datuk Alus Kassim membuat keputusan untuk meninggalkan parti UMNO.
Menerusi sekeping surat bertarikh 15 September yang dihantar kepada Ketua Bahagian UMNO Sekijang, Datuk Dr. Baharum Mohamed, Alus menegaskan, langkah tersebut diambil bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keluarga dan perniagaan yang diuruskan.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar dan kepercayaan kepada saya ketika saya melaksanakan tugas sebagai Timbalan Ketua Bahagian UMNO Sekijang serta memohon maaf jika ada kesalahan dan kesilapan semasa menjalankan tugas dalam UMNO,” tulisnya menerusi surat yang tular di laman sosial.
Bagaimanapun, timbul persoalan apabila sekeping kertas yang merupakan borang kemasukan ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tertera nama Alus turut menjadi tular menerusi aplikasi Whatsapp.
Perkara itu turut menjadi perbualan netizen yang mempertikai kredibiliti dan kejujuran seorang bekas timbalan ketua bahagian sebuah parti terhadap perakuannya di dalam sekeping surat yang diviralkan. – MalaysiaGazette