KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Bhd kini tersenarai dalam komponen Indeks Kelestarian Dow Jones (DCSI), sekali gus menjadikannya satu-satunya syarikat pemaju hartanah Malaysia yang diiktiraf dari segi menerajui kemapanan dalam pasaran sedang pesat membangun.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ia mencatat skor lestari yang baik untuk layak diiktiraf sebagai komponen DJSI sebagaimana diumumkan oleh S&P Indeks Dow Jones dan RobecoSAM iaitu pakar pelaburan yang memberi tumpuan khusus kepada pelaburan berbentuk mapan.
DJSI itu menyenaraikan peneraju lestari pasaran sedang pesat membangun yang mewakili 10 peratus teratas daripada 800 syarikat terbesar dalam 20 pasaran tersebut berdasarkan kriteria ekonomi, alam sekitar dan sosial jangka panjang.
Sime Darby Property berkata, ia merupakan penggiat hartanah tunggal Malaysia yang disenaraikan dalam indeks itu selain penggiat Filipina, Thailand, Afrika Selatan dan Chile.
Sambil menyifatkannya sebagai satu penghormatan yang besar, Pengarah Urusannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, Sime Darby Property telah membuktikan komitmen terhadap aspek lestari itu sejak bertahun-tahun lepas dengan menjadikannya sebahagian amalan dalam rantaian nilai perniagaan syarikat itu.
Malah, sebagai pemaju projek pembangunan dan perbandaran berskala besar, Sime Darby Property juga telah mewujudkan perbandaran dengan impak penting dan mampu bertahan beberapa generasi serta meminimumkan sebarang impak negatif terhadap alam sekitar.
Sementara itu, Ketua Penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) RobecoSAM, Manjit Jus berkata, syarikat-syarikat yang bersaing mendapatkan tempat dalam DJSI terbukti sentiasa mencabar kebolehan yang ada untuk terus mempertingkatkan amalan lestari masing-masing.
“Kami gembira melihat peningkatan jumlah syarikat yang telah memberi komitmen untuk terus mencapai impak positif,” katanya. – MalaysiaGazette