KUALA LUMPUR – Ahli politik veteran DAP, Lim Kit Siang membidas kemunculan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Beliau menyifatkan kemunculan secara ‘tiba-tiba’ Jho Low sedikit terlambat untuk membela diri dengan mengatakan dirinya tidak bersalah selain menjadi mangsa orang kepentingan adalah sesuatu yang tidak boleh di terima.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri melahirkan rasa terkejut kerana hanya selepas lima tahun, Jho Low seolah-olah mahu tampil membersihkan namanya.
“Hairan hati saya menggerutu memikirkan mengapa baru kini jutawan buruan ini muncul kononnya mahu memberitahu dirinya tidak bersalah?
“Bagaimana sebuah laman web yang baru sahaja diwujudkan ini mampu menghakis dan menangkis setiap pertuduhan berkaitan penyelewengan selain penglibatan Jho Low secara terperinci berkaitan skandal 1MDB begitu sahaja?
“Anda cuba mempertahankan diri selepas nama anda terpalit sejak lebih lima tahun selepas Editor Sarawak Report, Rewcastle Brown mula menulis tentang 1MDB?
“Bagaimana pula dengan pendedahan demi pendedahan oleh Wall Street Journal (WSJ) tentang RM2.6 bilion yang ditemui dalam akuan peribadi milik bekas Perdana Menteri juga dikaitkan dengan Jho Low?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang mengulas tentang satu kenyataan Jho Low dalam laman sesawang www.jho-low.com yang mendakwa beliau tidak bersalah terhadap segala tuduhan dilemparkan terhadapnya
Beliau juga mendakwa tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri daripada tuduhan daripada pengendali blog tertentu, kebocoran maklumat tidak betul daripada agensi kerajaan di seluruh dunia atau dakwaan tidak berasas yang difailkan di mahkamah terhadapnya.
Jelas Kit Siang, penafian Jho Low itu sebenarnya sangat ‘lemah’ berbanding setiap bukti yang telah dikemukakan juga menguatkan penglibatan jutawan dalam penyelewengan wang 1MDB mencecah sehingga berbilion ringgit.
“Jho Low sebenarnya sudah sedia maklum kehadiran dua buah buku, Billion Dollar Whale yang ditulis oleh dua wartawan WSJ, iaitu Tom Wright dan Bradley Hope serta The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose jauh lebih berkredibiliti.
“Kemunculan kedua-dua buku dalam pasaran ketika ini jauh lebih dipercayai dan diterima berbanding dengan laman web peribadi Jho Low,” tegasnya. – Malaysia Gazette
Saya tidak bersalah, kata Jho Low dalam laman sesawangnya