Home Politik Dana PRU-14: Wan Azizah sangkal dakwaan Rafizi

Dana PRU-14: Wan Azizah sangkal dakwaan Rafizi

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyangkal dakwa Rafizi Ramli kononnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali gagal membantu parti dalam mencari dana untuk PRU-14 lalu.

Menurutnya, Timbalan Presiden PKR itu ada membantu parti dalam menggerakkan PKR dalam memenangi pilihan raya umum lalu.

“Dia (Mohamed Azmin) bantu juga (dari segi kewangan) tapi dengan cara dia,” katanya yang juga bekas Presiden PKR kepada media selepas merasmikan upacara penutup Majlis Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Rafizi dalam majlis #Reformasi20Tahun di Kuantan, Pahang semalam mendedahkan, pesaingnya pada pemilihan parti kali ini, Mohamed Azmin dan penyokongnya gagal membantu parti menyediakan dana mencukupi kepada PKR ketika membuat persiapan menghadapi PRU-14.

Keadaan itu, dakwa Rafizi mendorong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah mencagarkan rumah mereka yang terletak di Bukit Segambut.

“Kita ada menteri besar, kita ada exco, kita nampak gah.

“Bukan kita suruh ambik duit Selangor, tapi kita minta dia buat tugas dia untuk cari dana dengan cara yang ikhlas, macam kami cari dana untuk parti,” kata Rafizi memetik laporan Malaysiakini.

Dalam pada itu, Wan Azizah menambah,  Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan pendirian sekiranya ada bekas pemimpin UMNO yang ingin menyertai gabungan tersebut.

Ujarnya, satu mesyuarat bakal diadakan tidak lama lagi bagi mengambil pendirian samada menerima atau tidak sesiapa sahaja yang meninggalkan UMNO.

“Kita belum lagi buat mesyuarat untuk kita menerima dan meneliti sekiranya mereka mohon. Belum lagi dapat permohonan mereka.

“Belum tahu lagi, kerana mereka baru keluar UMNO,” katanya ketika ditanya mengenai dua pemimpin UMNO yang bertindak meninggalkan parti itu semalam.

Antaranya adalah Datuk Seri Mustapha Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli yang mengumumkan keluar UMNO.

Ia diikuti bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman atas alasan rakyat Sabah harus mendapat layanan sama rata dan setiap hak mereka dilaksanakan sepenuhnya, tanpa sebarang dalih. -MalaysiaGazette