KUALA LUMPUR – Unit Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia berjaya membongkar kegiatan pelacuran wanita asing di Lembah Klang awal pagi ini.
Ops Gegar di tiga buah hotel di Puchong dan Sunway Mentari bermula 8 malam semalam dan selesai 1 pagi tadi melibatkan 16 orang pegawai.
Operasi ini adalah kesinambungan dari beberapa Ops Gegar yang telah dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur.
Modus operandi sindiket dan ejen pelacur warga asing itu menggunakan aplikasi Wechat dan WhatApss bagi berurus niaga dan mengelakkan kegiatan mereka dihidu oleh pihak penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan di kesemua hotel tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan 18 wanita yang terdiri daripada 12 orang wanita Thailand, empat wanita Indonesia, dan dua wanita Laos yang dipercayai melakukan akitiviti pelacuran, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Aktiviti pelacuran berkenaan giat dijalankan di beberapa tingkat berlainan hotel-hotel tersebut bagi tujuan mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati subjek memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 30 hari dan dapat mengumpul sejumlah wang yang besar dengan hanya melakukan aktiviti pelacuran di hotel-hotel yang ditentukan sindiket.
“Bayaran dikenakan bagi lelaki hidung belang yang mahu mendapatkan perkhidmatan seks bermula dari RM240 hingga RM640,” ujar kenyataan yang sama.
Sebanyak tujuh Borang 29 (Saman Saksi) dikeluarkan kepada majikan/wakil majikan dan pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.
Dua orang lelaki warganegara Malaysia juga ditahan di lokasi yang sama kerana disyaki menjadi tonto dan setelah pemeriksaan dijalankan, mereka terlibat memberi maklumat kepada premis-premis yang menjalankan aktiviti pelacuran ini tentang pergerakan pasukan penguat kuasa.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan.
Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- MalaysiaGazette