KUALA LUMPURĀ – Pergerakan Pemuda UMNO hari ini menggesa pemimpin dan ahli parti Melayu itu agar tidak mencemuh dan menyerang Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar parti semalam.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Ahli Parlimen Jeli itu meskipun beliau sendiri mengakui agak sukar menerima tindakan tersebut.
“Walaupun berat untuk menerima berita ini, namun mengenali nilai perjuangan tokoh ini mungkin ada sebab yang berat dan sukar untuk beliau jelaskan buat masa ini.
“Saya sarankan setiap warga parti agar bertenang, hormati keputusannya dan usah mencemuh beliau. Apa yang pasti agenda pengukuhan dan reformasi parti harus diteruskan.
“Sejak awal penubuhan UMNO, pemimpin datang dan pergi, namun perjuangan tetap diteruskan demi kelangsungan sebuah perjuangan suci,” katanya yang dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mustapa selaku ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang mengumumkan dirinya keluar daripada parti Melayu itu berkuatkuasa semalam.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusan diambil selepas melihat usaha-usaha bagi memulihkan kepercayaan dan imej UMNO yang disertainya sejak 40 tahun itu semakin sukar.
Asyraf Wajdi berkata, walaupun Mustapa sudah berundur daripada perjuangan dalam UMNO namun bekas menteri Kabinet itu yang telah mendorong beliau bertanding menerajui kepimpinan sayap parti tersebut.
“Tok Pa ialah mentor, guru dan bagaikan bapa saya dalam politik UMNO di Kelantan hampir sedekad lalu.
“Beliau sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjadi pemimpin parti yang sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, kesederhanaan dan kesetiaan kepada perjuangan.
“Malah beliau yang kuat membantu dan mendorong saya bertanding Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Jun lalu bagi membawa agenda reformasi parti,” katanya. – MalaysiaGazette