Home Utama Langkah Tok Pa simbolik UMNO gagal dikemudi dengan baik, kata penganalisis

Langkah Tok Pa simbolik UMNO gagal dikemudi dengan baik, kata penganalisis

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO membuktikan  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal melaksanakan tugas sebagai Presiden dengan baik, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Katanya, tindakan Mustapa sebenarnya memberikan isyarat yang jelas kepada seluruh ahli UMNO bahawa parti tersebut tidak dikemudi dengan baik dan perjuangannya tidak diperbaiki dengan budaya ‘warlord’.

“Mungkin Tok Pa walaupun agak terlambat melihat kepimpinan Zahid padanya tidak berupaya mengubah hala tuju memperbetulkan UMNO.

“‘Warlord’ di akar umbi lagi masih ada, Zahid tidak dapat melancarkan satu reformasi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selepas berkhidmat dengan UMNO selama 40 tahun, Mustapa yang merupakan Ahli Parlimen Jeli semalam umum keluar parti.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, keputusannya itu berasaskan pemerhatian tentang landskap politik Malaysia, hala tuju UMNO dan Barisan Nasional serta masa depan negara.

Mengulas lanjut, Jeneri berkata, masa depan UMNO yang kini semakin suram selepas kalah pada pilihan raya umum yang lalu akan bertambah buruk apabila beliau meramalkan jejak Mustapa akan diikuti oleh ahli-ahli lain dalam masa terdekat.

“Saya tidak rasa tidak mustahil dalam bulan-bulan akan datang akan ada orang ambil tindakan seperti ini, anda fikir penyokong Tok Pa akan berdiam diri terutama di kawasannya?

“Mungkin ADUN dan Ahli Parlimen lain juga akan ambil tindakan yang sama semacam ia motivasi untuk mengambil tindakan sedemikian kerana Tok Pa ini dilihat pemimpimn berwibawa.

“Kalau ada lagi tindakan ini seperti ini masa depan UMNO makin suram,” jelasnya.

Katanya, kekecewaan yang dizahirkan oleh pemimpin lama seperti Mustapa akan melemahkan dan melumpuhkan parti itu.

“Ini kehilangan besar di kala UMNO memerlukan kepimpinan seperti Tok Pa sedang parti dalam keadaan kehilangan kepercayaan rakyat.

“Tindakan Tok Pa ini merupakan tamparan hebat yang akan menghakiskan lagi keyakinan rakyat, UMNO makin tersepit, makin lumpuh dan semakin hilang daya tarikan,” ujarnya.

Pada Julai lalu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan keluar daripada UMNO kerana mendakwa parti itu sudah tergelincir dari landasan asal sehingga ditolak orang Melayu sendiri. -MalaysiaGazette