Home Ekonomi Masih ramai pemilik kenderaan belum tukar beg udara Takata

Masih ramai pemilik kenderaan belum tukar beg udara Takata

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan Malaysia kesal kerana jumlah pemilik kenderaan yang sudah menukar beg udara Takata sangat kecil meskipun langkah menanganinya sudah diambil.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menghantar surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat dalam panggilan penukaran beg udara Takata.

Menurutnya, dari 26 Jun 2018 sehingga 4 September 2018, JPJ telah menghantar sebanyak 408,551 surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat.

Sepanjang tempoh surat peringatan tersebut dikeluarkan sehingga ke hari ini (26 Jun 2018 sehingga 19 september 2018) hanya 70,853 kenderaan telah di hantar ke bengkel syarikat pengeluar dan selesai urusan penukaran beg udara.

Ini menunjukkan peratus orang ramai yang mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus.

“Perkara ini amat mendukacitakan pihak Kementerian kerana inisiatif yang diambil tidak dipandang serius dan penting oleh masyarakat dalam usaha mencegah daripada kejadian maut beg udara Takata ini berulang kembali,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pihak industri automotif yang terlibat dikehendaki mewujudkan Pelan Komprehensif Panggilan Semula dan Stok Beg Udara.

Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan Pusat Khidmat dan ketersediaan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan yang perlu menukar beg udara.

Tambahnya, industri juga dikehendaki untuk mewujudkan Pelan Promosi Yang Lebih Effisien.

Syarikat pengeluar turut memastikan bahawa komunikasi serta maklumat mengenai usaha ini sampai kepada kumpulan sasaran.

Sementara itu, JPJ akan meneruskan Task Force selama 2 bulan lagi dengan membuat pemantauan terhadap status panggilan semula dan kesediaan stok, justeru, bagi melancarkan tindakan gerak kerja ini, pengeluar dikehendaki menyediakan stok yang mencukupi dalam tempoh dua bulan.

Syarikat Honda bersetuju akan menghantar peringatan terakhir kepada pelanggannya dalam tempoh dua minggu. – MalaysiaGazette