KUALA LUMPUR – UMNO kini meniti kejatuhan setelah seorang demi seorang pemimpinnya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti itu.
Penganalisis Politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perkembangan terbaru dalam parti itu menguatkan lagi ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad 15 tahun yang lalu bahawa UMNO akan musnah dan hilang kuasa menjelang 2020.
“UMNO akan meniti detik-detik kejatuhan seorang-seorang keluar.
“Apa yang diramal Tun M 15 tahun lampau UMNO akan habis pada 2021 mungkin menjadi kenyataan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan drastik Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar parti semalam disusuli Datuk Seri Anifah Aman sebentar tadi mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO serta merta.
Katanya, tidak mustahil perkembangan terbaharu yang menunjukkan tanda-tanda parti itu semakin cenderung untukĀ menjalin kerjasama dengan Pas juga membibitkan ketidakpuasan hati pemimpin tertentu yang akhirnya membuat keputusan sendiri.
Beliau berpandapat UMNO dikelilingi oleh segelintir kumpulan yang bersikap tidak terbuka dalam menerima pandangan demi kebaikan parti.
Perkara itu, katanya, menjadi punca pemimpin senior seperti Mustapa meninggalkan parti itu walaupun telah berpuluh tahun bersama UMNO.
“Cara dia cakap menunjukkan dia nampak ada beberapa perkara selain daripada dia rasa UMNO sudah tidak mengukut prinsip-prinsip yang dia telah pegang selama hari ini.
“Dia pun mungkin memberikan pandangan dalam mesyuarat sebab dia MT pucuk mungkin mengenepikan pandangannya,” katanya. -MalaysiaGazette