KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menang tanpa bertanding sekalipun UMNO tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, parti itu tidak berhadapan dengan tekanan untuk meletakkan calon atau sebaliknya kerana Pas juga ingin bertanding untuk kerusi tersebut.
“Seronok PRK PD ni sebab dia istimewa sebab Anwar yang akan bertanding dan kita pula tidak ada tekanan, nak bertanding tidak mengapa, tidak bertanding tidak mengapa.
“Kalau kita nak bertanding kita boleh bertanding kalau tidak ramai yang nak bertanding, Pas pun nak bertanding, Bebas pun ada cakap nak bertanding yang pasti Anwar tidak akan menang tanpa bertanding,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh penamaan calon PRK Port Dickson pada 29 September manakala mengundi pada 13 Oktober.
Kerusi Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.
Dalam pada itu, Annuar sekali lagi menegaskan bahawa keputusan sama ada UMNO akan meletakkan calon atau sebaliknya hanya akan dibuat pada 24 Oktober ini. – MalaysiaGazette