Home Nasional SPRM tak tolak kemungkinan Rosmah juga didakwa

SPRM tak tolak kemungkinan Rosmah juga didakwa

Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan isteri kepada bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor akan turut didakwa.

Namun Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki tidak berkongsi tempoh masa tepat bila mahu mendakwa Rosmah di mahkamah.

Im not denying on that (Saya tidak menolak kemungkinan itu (mendakwa Rosmah)..saya tiada maklumat tentang itu lagi,” katanya secara ringkas tanpa mengulas lanjut dalam sidang media di perkarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Beliau hadir mengikuti pendakwaan terhadap Najib yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen menghadapi 25 pertuduhan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Azam tidak juga menolak kemungkinan ada beberapa orang lagi akan dituduh dalam kes sama.

“Saya tidak menolak kemungkinan akan ada pertuduhan lain terhadap beberapa orang lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azam juga menyifatkan pendakwaan Najib hari ini pendakwaan bersama melibatkan dua kes bersama iaitu satu kes melibatkan pertuduhan daripada SPRM dan satu lagi kes melibatkan PDRM.

“SPRM ada empat pertuduhan, polis ada 21 pertuduhan iaitu SPRM membuat pertuduhan di bawah Seksyen 23 SPRM salah guna kuasa dana RM2.6 bilion manakala pihak polis dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLAFTA).

“Saya boleh katakan ini sejarah kali pertama kedua-dua jabatan berkuasa ini (SPRM dan PDRM) bekerjasama dan pertuduhan pun dijalankan bersama.

“Sebelum ini, belum ada siasatan bersama di mana kedua-dua kes polis dan SPRM dituduh bersama,” katanya sambil tidak menolak kemungkinan akan ada kes lagi melibatkan pertuduhan bersama selepas ini.- MalaysiaGazette