KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim hari ini mengesahkan pemeriksaan polis di kediaman Tun Rahah Mohammad Noah di Jalan Eaton, semalam.
Katanya, rumah ibu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan diserbu seperti yang digempar gempurkan dalam media sosial.
“Bukan diserbu,.. kita buat pemeriksaan biasa sahaja ekoran maklumat siasatan kita.
“Kita merasakan rumah ini perlu diperiksa dan kita mendekati beliau (Tun Rahah) secara hormat dan memujuk meminta kebenaran memeriksa dan beliau turut memberi kerjasama yang baik untuk kami melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Futsal Lelaki dan Wanita Piala Ketua Polis Negara Tahun 2018 di KSL Sports Centre, Setapak hari ini.
Pada kejohanan itu, Pasukan Futsal Bukit Aman muncul juara keseluruhan.
Ditanya hasil pemeriksaan di kediaman Tun Rahah, Noor Rashid berkata, tiada barang yang diambil dari rumah itu.
Semalam polis dilaporkan tiba di kediaman itu kira-kira pukul 2 petang untuk menjalankan pemeriksaan.
Peguam Najib, Muhammad Shafiee Abdullah yang berada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk proses pendakwaan bekas Perdana Menteri itu melibatkan 25 pertuduhan salah guna kedudukan dan aktiviti pengubahan wang haram mengecam tindakan itu dan mendakwa ia tidak adil.
“Apa kaitan Tun Rahah dalam kes Najib, kalau mahu buat pemeriksaan mesti ada sebab munasabah,” katanya. – MalaysiaGazette