PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) diubah kepada nama baharu iaitu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi memastikan badan itu diperkasakan dan bertindak sebagai pemantau bebas yang holistik.
“Nama EAIC akan diubah dan dikenali sebagai IPCMC dan ada pegawai yang akan dipindahkan.
“Ia tukar nama dan fungsi, oleh kerana banyak aduan terhadap pihak polis, kita usaha untuk membersihkan polis dan menentukan mereka mendapat layanan baik sebagai anggota polis.
“Dalam masa sama mereka harus bersihkan diri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.
Mesyuarat kali keempat itu hari ini memfokus kepada aspek melonjakkan imej negara dalam aspek governans, integriti, anti rasuah dan hak asasi manusia.
Mahathir juga berkata, Institut Integriti Malaysia serta Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) akan disatu dan diserap di bawah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).
“Dua agensi ini akan diserapkan fungsi ke dalam GIACC dan akan dibincang bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira aspek penjimatan di pihak kerajaan.
“Penyelarasan fungsi agensi-agensi di bawah GIACC amat penting bagi memastikan dasar dan perancangan berkaitan governans, integriti dan anti rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Katanya lagi, mesyuarat itu juga memutuskan agar Biro Pengaduan Awam (BPA) ditukar status sebagai Ombudsman Malaysia.
“Bagi tujuan ini, Akta Ombudsman berkaitan penubuhan Ombudsman ke arah pengurusan aduan awam yang lebih efektif di Malaysia akan digubal,” jelasnya.
Selain itu, kerajaan juga bakal mewujudkan Akta Perkhidmatan Awam bagi tujuan menambah baik tadbir proses kenaikan pangkat pegawai-pegawai kumpulan pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan awam.
Mekanisme baharu diputuskan bagi mewujudkan proses kenaikan pangkat yang telus dan berintegriti bagi mengurangkan ketidakpuasan hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Stupid