KUALA LUMPUR – Sebuah parti politik baharu bakal mewarnai arena politik negara apabila diwujudkan bagi membina ukhuwah antara masyarakat India Muslim dengan kaum-kaum lain di negara ini.
Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PIBM) ditubuhakan untuk memperjuang dan membela hak-hak rakyat Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Presiden penajanya, Datuk Jamarulkhan MS Kadir berkata, selain itu matlamat pengwujudan parti berkenaan adalah untuk mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati kedudukan agama-agama lain di Malaysia.
Menurut beliau, sebagai sebuah parti politik, PIBM akan berusaha menyampaikan suara rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Sebelum membuat keputusan menubuhkan parti ini kami telah mengatur beberapa perjumpaan dengan wakil-wakil NGO dan parti lain untuk mendapatkan maklum balas dan nasihat yang akan digunapakai sebagai pedoman hala tuju parti baru ini.
“Selepas mendapat kelulusan dari Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kami akan mula merangka rancangan-rancangan dan sesi perjumpaan yang lebih meluas di seluruh negara untuk membentuk blueprint atau manifesto untuk masyarakat India Muslim di Malaysia bagi diperjuangkan,” katanya.
Jamarulkhan berkata, permohonan pendaftaran parti itu telah dihantar ke ROS pada 23 Ogos lepas dan sekarang sedang menunggu keputusan kelulusan daripada jabatan itu.
Tambah beliau, sekiranya kelulusan terhadap permohonan itu diperoleh parti tersebut akan ditubuh dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelulusan diterima.
Ujarnya, untuk peringkat awal parti berkenaan menyasarkan sebanyak 5,000 keahlian daripada jumlah keseluruhan 800,000 masyarakat India Muslim yang ada di negara ini.
“Kami percaya sudah tiba masanya suara politik kuam India Malaysia ini disuarakan sendiri oleh kepimpinan mereka yang terdiri daripada kalangan India Muslim.
“Pasca PRU14 suasana Malaysia baharu telah memberi kami inspirasi dan ilham untuk menubuhkan sebuah parti politik yang boleh menjadi contoh oarti terbaik mewakili nukan sahaja kaum India Muslim tertapi yang berteraskan agama Islam,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, parti yang ditubuh ini juga akan mengambil bahagian dalam pilihanraya di peringkat Persekutuan, negeri atau daerah bagi tujuan dihantar ke Majlis Perbandaran, Dewan Undanga Negeri (DUN), Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, satu Konvensyen Hala Tuju Masyarakat India Muslim di Malaysia juga akan diadakan dan bercadang menjemput Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk merasmikannya. – MalaysiaGazette