Home Nasional Polis tembak mati dua warga asing terbabit samun

Polis tembak mati dua warga asing terbabit samun

Polis memeriksa kenderaan penjenayah warga asing yang terbabas . foto Bernama

KULAI – Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat kes samun ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan polis di Bukit Batu, Jalan Sedenak menghala ke Felda Sayong di sini, awal hari ini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam  kejadian kira-kira 4.15 pagi itu, pihak polis yang sedang membuat rondaan di Taman Manis dekat sini mengesan sebuah kereta yang mencurigakan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, beliau berkata arahan pihak polis agar suspek memberhentikan kenderaan mereka tidak diendahkan, sebaliknya bertindak merempuh kereta polis dan melarikan diri sebelum dikejar oleh polis sejauh dua kilometer, katanya.

“Kereta yang dinaiki penjenayah itu kemudiannya terbabas dan beberapa das tembakan telah dilepaskan dari kenderaan tersebut.

“Dalam usaha pihak polis mempertahankan diri, kita telah melepaskan beberapa  das tembakan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek warga asing yang berusia 30-an itu maut di tempat kejadian dan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk revolver, sebilah parang, topeng muka dan sarung tangan.

“Kita percaya suspek-suspek ini adalah mereka yang terlibat dengan kes-kes samun di sekitar Johor terutamanya di kawasan Johor Bahru, Pontian, Kulai dan kawasan sekitar,” katanya.

Menurutnya kumpulan yang dianggotai suspek dipercayai terlibat dalam kira-kira  15 kes samun dengan yang terakhir di Pontian, semalam.

Polis kini memburu saki-baki anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif menyamun sejak enam bulan  lalu, katanya menambah kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu,  Mohd Kamarudin berkata setakat ini pada tahun ini, pihaknya menerima laporan kira-kira 50 kes samun melibatkan warga asing di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette