DODOMA – Sekurang-kurangnya 136 orang disahkan terbunuh selepas feri yang membawa beratus-ratus penumpang terbalik di Tasik Victoria, Tanzania.
Jumlah penumpang yang maut dikhuatiri melebihi 200 orang.
Feri MV Nyerere dilaporkan terbalik dekt Pulau Ukara ketika ia dalam perjalanan dari Bugorora, dipercayai akibat terlebih muatan dan feri berkenaan berat sebelah.
Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan sejak semalam membabitkan penyelam polis dan tentera serta bot persendirian dan nelayan.
Seorang ahli lelaki yang masih menunggu khabar tentang tiga ahli keluarganya menggesa kerajaan menyediakan feri baharu kerana feri berkenaan kecil, sedangkan populasi semakin besar.
Feri berkenaan juga dikatakan baharu sahaja digantikan dengan enjin baharu selepas enjin lama mengalami kerosakan.
Media tempatan melaporkan, feri berkenaan adalah untuk muatan 100 orang tetapi semasa hari kejadian ia membawa lebih 400 orang.
Feri itu berulang-alik lapan kali sehari antara Pulau Ukara dan Ukwerewe, berhampiran dengan bandar kedua terbesar Tanzania, Mwanza.
Selain membawa penumpang, ia juga membawa kargo termasuk simen dan jagung. – MalaysiaGazette