IPOH – Pelumba basikal Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri hampir mencipta kejutan terhadap pelumba kebangsaan Anis Amira Rosidi menerusi kayuhan bertenaga untuk meraih pingat perak dengan perbezaan 1.0999 saat dalam acara 500 meter ujian masa wanita di Velodrome Rakyat, hari ini.
Remaja berusia 15 tahun itu mencatatkan 37.462s berbanding Anis yang merekodkan 36.362s untuk menyumbang pingat emas kepada Perlis.
Melihat pada usianya yang masih muda, Nurul Izzah berpotensi menjadi aset berharga negara pada masa akan datang.
“Saya memang sasar untuk mendapatkan pingat emas tetapi rezeki saya hanya perak hari ini, saya tetap bersyukur.
“Sebelum ini saya lihat catatan masa Anis tidak begitu jauh dengan catatan masa yang saya lakukan, sebab itu saya melakukan kayuhan dengan bertenaga hari ini dengan harapan mampu untuk lakukan kejutan,” katanya kepada Bernama selepas perlumbaan.
Pingat gangsa acara itu menjadi milik atlet Terengganu, Siti Nur Alia Mansor yang melakukan 38.673s.
Gadis kecil molek itu mempunyai cita-cita besar iaitu beraksi di Sukan Olimpik.
“Saya berharap selepas ini saya dapat menembusi skuad pelapis kebangsaan dan seterusnya mewakili Malaysia pada masa depan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kemenangan Darulaman Height itu.
Nurul Izzah juga meraih pingat gangsa dalam acara pecut pada penampilan Sukma kali ini. – MalaysiaGazette