Home Nasional Isu kesihatan Chong Wei viral dalam media sosial

Isu kesihatan Chong Wei viral dalam media sosial

Mesej viral mengenai kesihatan Lee Chong Wei diviralkan oleh pihak tertentu selepas pemain itu diketahui umum menjalani rawatan di Taiwan.

KUALA LUMPUR – Spekulasi mengaitkan kesihatan pemain badminton nombor satu negara , Datuk Lee Chong Wei mula viral dalam media sosial Facebook sejak semalam.

Seperti diketahui semua, Chong Wei sedang menjalani rawatan di Taiwan untuk masalah pernafasan yang dialaminya sebelum ini.

Namun sebelum pemain itu serta ahli keluarga atau Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan sebarang berita mengenai perkembangan kesihatan secara terperinci sehingga kini atas privasi, pihak di luar mula menyebarkan pelbagai andaian berkaitan kesihatan pemain itu.

Seorang pengguna Instagram bernama dannyryuji berkongsi mesej berkenaan yang belum diketahui penulisnya dengan tag Let’s Pray for Datuk Lee Chong Wei  dalam Facebook.

Mesej itu berbunyi kononnya: “berita mengejut untuk warga malaysia.

Legenda badminton kita Datuk Lee Chong Wei dikesan kanser hidung tahap ketiga…pada usia 35 tahun, sangat cergas dan mewah tetapi tiba tiba menghadapi masalah pernafasan, pergi ke Taiwan dan pakar telah menemui dia mempunyai kanser hidung tahap ke-3.Hidup ini agak tidak menentu untuk semua, harap dia melangsungkan hidup dan terus lawan penyakit itu. doa kami semua untuk kamu DLCW..

Mesej itu tersebar bersama foto Chong Wei dalam posisi duduk di kerusi stadium badminton dengan berpakaian baju T biru dan seluar pendek kelabu, dan tidak mengambil peduli langsung sensitiviti atau perasaan ahli keluarga atlet itu.

Semalam akhbar Inggeris tempatan, the Star melaporkan jaguh badminton itu akan melengkapkan rawatan perubatan untuk tempoh seminggu lagi di Taiwan sebelum kembali ke tanahair.

Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Ng Chin Chai telah melawat pemain berusia 35 tahun itu di Taiwan baru baru ini dan gembira dengan progres pemulihan yang ditunjukkan oleh pemain itu.

Chong Wei sedang menjalani rawatan untuk penyakit berkaitan masalah respiratori sejak Julai lalu di luar negara.

“Rawatan dia akan selesai minggu hadapan. Dia seharusnya pulang ke Malaysia selepas dua minggu dan akan berehat di rumah untuk tempoh sebulan,” kata Chin Chai dalam mesyuarat majlis pada Khamis.

Doktor yang merawatnya akan menilai keadaannya sekali lagi dan kalau mendapat lampu hijau dia akan kembali beraksi pada November ini.

“Dia dalam mood terbaik sepanjang dua hari lawatan saya di sana,” katanya.- MalaysiaGazette