Home Nasional Mazlan Aliman akan terajui agensi MOA

Mazlan Aliman akan terajui agensi MOA

Mazlan Aliman

TEMERLOH – Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman dijangka dilantik menerajui sebuah agensi penting di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menterinya Datuk Salahudin Ayub berkata, pelantikan itu akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sudah kemukakan nama beliau kepada Dr Mahathir dan setakat ini tidak ada masalah… harap ia akan diketahui dalam masa terdekat, hanya tunggu keputusan PM (Perdana Menteri).

“Saya rasa tidak ada masalah Mazlan diberi tempat untuk perjuangan beliau kerana apa yang telah dibuat terhadap peneroka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Parti Amanah Negara kali Ketiga bertemakan ‘Bersama Menerajui Perubahan’ di Dewan Tun Razak, di sini hari ini.

Salahudian yang juga Timbalan Presiden Amanah, berkata pelantikan itu dicadangkan sebagai menghargai perjuangan Mazlan membantu Pakatan Harapan sehingga menang 75 peratus di kawasan Felda pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Beliau sudah 30 tahun berjuang, itu kapasiti atau ‘track record’ yang harus diberi kepada Mazlan untuk beliau terus membela nasib petani,” katanya.

Salahudin berkata cadangan tersebut juga tidak bercanggah dengan janji “tiada lantikan politik” dalam manifesto Pakatan Harapan memandangkan agensi yang berkenaan bukan syarikat berkaitan kerajaan.

Antara agensi yang terletak di bawah kementerian itu ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pertubuhan Peladang. – MalaysiaGazette