Home Nasional Program ‘Fast Track’ PPS bermula tahun depan – Dzulkefly

Program ‘Fast Track’ PPS bermula tahun depan – Dzulkefly

TEMERLOH – Pegawai  perubatan siswazah (PPS)  yang cemerlang berpeluang  menamatkan ‘housemanship’ (latihan di hospital) lebih awal menerusi program ‘fast track’ yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata program itu yang juga bertujuan memendekkan tempoh menunggu PPS bagi mengikuti housemanship telah diberi ‘lampu hijau’ oleh Kabinet.

Katanya program ‘fast track’ itu dijangka melibatkan kira-kira 10 peratus daripada sekitar 5,000 PPS setahun dan bakal menyaksikan mereka menamatkan housemanship dalam tempoh 18 bulan berbanding dua tahun sekarang.

“Ini dijangka dapat mengurangkan tempoh menunggu yang boleh mencecah sehingga setahun lebih untuk seorang PPS mendapat tempat memandangkan tidak semua PPS dapat menamatkan housemanship mereka mengikut tempoh yang ditetapkan, sekali gus menyebabkan ‘backlog’ (lantukan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada  Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Parti Amanah Negara (Amanah) di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata setakat ini hanya 45 hospital di negara ini yang sesuai dijadikan hospital latihan siswazah kerana dilengkapi dengan doktor pakar dan kemudahan yang sepatutnya.

Jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan jumlah PPS yang dilahirkan menerusi 31 pusat pengajian perubatan dalam negara serta mereka yang mengikuti pengajian perubatan di luar negara, katanya.

— BERNAMA