KUALA LUMPUR – Pas menyokong penuh kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sepenuhnya nilai hak asasi manusia diamalkan di negara Barat seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta perkahwinan sejenis.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas juga menyambut positif ketegasan Perdana Menteri mengkritik pembentangan daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkenaan amalan LGBT bahawa nilai yang dipegang oleh Malaysia adalah berbeza dengan masyarakat Barat.
Katanya, Pas menolak sebarang cadangan atau tindakan dalam apa jua bentuk bagi mempertahankan amalan LGBT, termasuk mempertikaikan undang-undang yang bertujuan mencegah dan menghukum mereka yang terlibat dengan amalan songsang itu.
“Kita tegas dengan prinsip sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin negara mesti mempunyai akhlak yang baik dan budiman, tidak terlibat langsung dengan gaya hidup songsang dan luar tabii.
“Pemimpin yang dipilih haruslah berakhlak mulia, berintegriti dan mempromosi gaya hidup fikrah semula jadi yang telah ditentukan Allah, tuhan yang mencipta manusia.
“Pemimpin juga perlu menjadi model baik bagi rakyat yang dipimpinnya dan ia bertanggungjawab di dunia dan akhirat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Di Putrajaya semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan pusat bertegas amalan LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini.
Katanya, konsep kekeluargaan kekal sebagai pasangan lelaki dan wanita yang berkahwin, mempunyai anak, termasuk anak angkat.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi pandangannya mengenai LGBT, yang disifatkannya sama dengan pendirian isterinya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bahawa golongan itu sebagai haram.
Beliau memuji Dr Wan Azizah sebagai seorang pemimpin yang bijak dengan caranya tersendiri dengan mengatakan tindakan seksual itu haram dan tidak dipertikaikan dalam Islam. – MalaysiaGazette