Home Nasional Utusan tidak ikhlas tawar VSS kepada kakitangan- NUJ

Utusan tidak ikhlas tawar VSS kepada kakitangan- NUJ

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia

KUALA LUMPUR – Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia menyifatkan langkah syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada 800 kakitangannya sebagai tidak ikhlas, tidak jujur dan mencurigakan.

Menurut kesatuan itu, keputusan menawarkan VSS dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan dan input daripada NUJ.

NUJ hanya dimaklumkan cara dan formula pelaksanaan dan penyelesaiannya sejam sebelum ia diumumkan kepada semua pekerja menerusi satu taklimat yang diadakan pada Jumaat.

“VSS yang ditawarkan faedahnya adalah lebih rendah daripada skim pilihan terakhir yakni pembuangan pekerja (retrenchment) yang terkandung dalam CA kami.

“Sepatutnya sebagai skim pertama, ia mestilah lebih baik. Adalah lebih bagus ahli kami menunggu pembuangan pekerja dibuat berbanding menerima VSS yang ditawarkan ketika ini,” katanya NUJ Malaysia dalam kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kemampuan syarikat untuk membayar penyelesaian VSS sungguh mencurigakan kerana mereka menjanjikan sebulan gaji dicampur dengan tahun berkhidmat tanpa mempunyai dana yang sudah sedia ada.

“Maknanya Utusan belum mempunyai wang dan masih perlu mencari ketika menawarkannya tanpa menunjukkan dengan jelas bukti meyakinkan dari mana mereka boleh memperolehnya.

“Pembayaran pula dibuat bukan secara sekaligus (lump-sum) tetapi secara ansuran bulanan yang mengambil masa selama setahun untuk diselesaikan.

“Secara prinsipnya ia sudah lari daripada amalan biasa VSS dan memberi risiko besar kepada ahli kami,” ujarnya.

Sehubungan itu, NUJ mendesak UMNO sebagai pemegang saham terbesar menilai kembali keputusan yang dibuat Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Aziz Sheikh Fadzir ini.

NUJ juga menggesa UMNO melepaskan pegangan sahamnya ke atas syarikat berkenaan demi survival akhbar yang cukup bersejarah dan kakitangannya yang banyak berjasa. – MalaysiaGazette