Home Politik e-undi: PKR Pulau Pinang mahu parti beri penjelasan

e-undi: PKR Pulau Pinang mahu parti beri penjelasan

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat Dr Afif Bahardin berkata tinjauan dan pemerhatian yang dibuat di cabang-cabang di seluruh negeri semalam mendapati anggota parti tidak berpuas hati dengan proses pengundian.
Dr Afif Bahardin

BUTTERWORTH – Anggota PKR di Pulau Pinang mendesak parti itu memberi penjelasan berhubung kekeliruan dan permasalahan yang timbul terutama berhubung e-undi pada Pemilihan PKR 2018 yang berlangsung di negeri itu semalam.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat Dr Afif Bahardin berkata tinjauan dan pemerhatian yang dibuat di cabang-cabang di seluruh negeri semalam mendapati anggota parti tidak berpuas hati dengan proses pengundian.

“Proses pemilihan buat pertama kali hari ini menggunakan sistem yang baharu dan apa yang kami nampak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR kurang bersedia untuk melaksanakan pemilihan, sebab itu timbul pelbagai masalah.

“Jadi kami desak supaya PKR terutama JPP PKR dan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas permasalahan yang timbul dan memberi penjelasan kepada seluruh anggota apa yang berlaku,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Beliau berkata apa yang berlaku hari ini terutama masalah nama calon serta senarai nama pengundi tiada dalam sistem e-undi adalah sangat mendukacitakan serta memalukan parti.

Dr Afif, yang bertanding calon Ketua AMK pusat, berkata pihaknya akan menghantar surat bantahan rasmi kepada JPP PKR bagi meminta keputusan pemilihan PKR 2018 di Pulau Pinang dibatalkan dan dibuat semula kerana banyak pihak terutama di kalangan calon tidak berpuas hati.

Terdahulu, berlaku kekecohan ketika barisan kepimpinan termasuk Pengerusi JPP PKR Datuk Rashid Din ingin meninggalkan dewan selepas sidang akhbar oleh Setiausaha JPP PKR Ismail Yusop di tempat yang sama.

Sekumpulan anggota PKR Pulau Pinang yang turut hadir pada sidang akhbar JPP PKR itu cuba merempuh barisan kepimpinan JPP menyebabkan berlaku kekecohan dan pergaduhan serta adegan baling kerusi di antara mereka.

Kekecohan berlarutan hingga ke luar dewan menyebabkan seorang penyokong PKR cedera di kepala selepas terkena kerusi yang dibaling ketika pergaduhan.

Keadaan dapat dikawal Dr Afif dan beberapa pemimpin PKR negeri meleraikan pergaduhan itu.

— BERNAMA

1 Komen

  1. Wei sebelum memilih checklah status keahlian. Salah ke
    Prg senang sangat. Awak tu bertanding. Nik salah ke wan aziziah dan azmin takut.
    Salahk ke org no. 3

Comments are closed.