KUALA LUMPUR – Malaysia akan memiliki hab pusat sukan elektronik atau e-Sukan yang pertama di Asia Tengggara pada masa akan datang.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pusat yang dikenali AirAsia Esports Center akan dibangunkan di Klang, Selangor.
Beliau berkata, AsiaAsia merupakan penaja utama pusat e-Sukan yang dimiliki oleh Agri Mind.
“Hab pusat e-Sukan akan memiliki pelbagai kemudahan yang bersepadu dalam menjadikan Malaysia sebagai penggerak e-Sukan pada masa akan datang di rantau ini.
“Hab ini akan bukan sahaja menawarkan tempat latihan, pertandingan, pemasaran sebaliknya juga pusat vokasional e-Sukan.
“Ia ibarat perkampungan Olimpik yang meliputi semua aspek seperti pendidikan, pemasaran dan latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertandingan akhir peringkat kebangsaan World Electronic Sports Games (WESG) SEA Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, industri e-Sukan mampu menjana pendapatan buat negara dan anak tempatan perlu merebut peluang itu kerana menawarkan ganjaran lumayan.
Jelas Ahli Parlimen Muar itu ketika ini perkembangan sukan tersebut di negara ini tidak boleh diambil remeh.
“Terima kasih kepada Air Asia dan Tune Studio yang membuka langkah untuk menaja dalam industri.
“Ini sukan masa depan yang berpotensi besar dan Malaysia perlu merebutnya,” katanya.
Tahun lalu, menurut laporan firma penyelidikan pemasaran Newzoo, industri e-sukan menjana pendapatan sebanyak RM2.1 billion dan merekodkan jumlah penonton seramai 320 juta dari seluruh dunia. – MalaysiaGazette