Home Seni Hidup Nisa Bakri harum nama Malaysia di London

Nisa Bakri harum nama Malaysia di London

Nama Puan Sri Shariffa Nisa bukanlah asing dalam industri masakan tanah air.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, hobi yang bermula gemar memasak dan menjamu rakan-rakan dengan pelbagai masakan tradisi hasil tangan ibunya membuka hati wanita ini untuk terbabit serius dalam bidang masakan.

Prinsip figura bernama Puan Sri Shariffa Nisa ini hanya satu sahaja iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan kepada diri sendiri.

Dan hari ini, nama Shariffa Nisa atau lebih mesra dipanggil Nisa Bakri tidak asing lagi dalam industri masakan tanah air malah beliau juga semakin dikenali di negara seberang mahu pun antarabangsa.

Menoleh ke belakang, pembabitan ke persada antarabangsa bukan sekali-kali dirancang sebaliknya bermula apabila mendapat jemputan dari negara Singapura, Brunei, Indonesia, Emeriah Arab Bersatu dan Sepanyol.

PHOTO-2018-09-03-16-58-23
Nisa Bakri dijemput menjadi penaja katering pada Minggu Fesyen London 2018 baru-baru ini.

Terbaharu beliau telah mementaskan keunikan masakannya di salah satu kota fesyen dunia terkenal dunia iaitu London, England, baru-baru ini.

Jelasnya pada Minggu Fesyen London 2018 itu, beliau diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin termasuk VVIP di setiap acara yang disertai sekali gus mencipta satu sejarah buat tanahair.

Beliau melihat platform ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan jenamanya dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa seterusnya memajukan masakan Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Dijemput sebagai penaja dan pembekal katering bagi masakan Malaysia selama empat hari di kota London, ia juga sebagai satu usaha untuk mempromosikan masakan Malaysia di peringkat antarabangsa.

_MG_3880
Jenama Nisa Bakri kini popular dengan produk pes segera.

Platform itu juga digunakan untuk melancarkan tiga jenis pes atau perencah segera terbarunya iaitu Pes Gulai Sayuran, Pes Masala Ayam dan Pes Gulai Ayam Lemak Betutu.

Beliau turut bersyukur kerana masakan Malaysia diterima baik dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat yang hampir kesemuanya dibukukan di dalam buku resepi masakan Nisa Bakri.

“Percayalah setiap yang saya lakukan ini adalah ikhlas dari hati sanubari, semestinya yang asli dan unik selain minat mendalam saya terhadap masakan.

“Begitu juga kelebihan mempunyai pasukan yang hebat dan berdedikasi tinggi untuk mencapai misi dan visi syarikat saya. Tidak akan berjaya seseorang itu tanpa satu pasukan yang kuat dan tabah.

_MG_3847
Nisa Bakri pernah menghasilkan buku berjudul I Am Not A Chef.

“Saya percaya kepada mereka. Berikan tanggungjawab dan amanah kepada mereka selain menghormati sesama rakan sekerja dan integriti amatlah dituntut di dalam setiap tindakan bagi mencapai kejayaan bukan saja di dalam negara malah ke tahap yang lebih tinggi.

“Inilah resipi dan rahsia kejayaan yang saya selalu kongsi dan amalkan. Jika didekati dengan anasir negatif, saya akan terus berpaling ke arah positif dan meneruskan langkah saya ke hadapan.

“Bunyinya seakan-akan keras dan kejam tetapi itulah kenyataannya jika kita ingin berjaya dan berada di peringkat global. Saya amat menghargai masa setiap orang yang terbabit selain sentiasa bersifat profesional dalam apa jua bidang yang saya lakukan. Semuanya adalah kunci kepada kejayaan seseorang,” katanya.

Menurutnya, tiada pengakhiran di dalam cita-citanya selagi masih bernafas di bumi bertuah ini, beliau akan meneruskan misi dan visi untuk mengembangkan pengaruh dan jenama Nisa Bakri.

Ini kerana beliau mempercayai melalui masakan kita boleh berkongsi kegembiraan dan kasih sayang tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

“Mungkin bagi orang lain aktiviti memasak hanya rutin biasa namun bagi saya suasana memasak sebagai momen paling indah malah bauan dan bunyian ketika melakukan aktiviti itu sungguh mengasyikkan.

“Berada di dapur membawa saya ke dimensi yang lebih mengujakan,” katanya. – MalaysiaGazette