IPOH – Sukan Malaysia (Sukma) 2018 melabuhkan tirai malam tadi apabila Terengganu muncul juara keseluruhan dengan kutipan 56 pingat emas, 51 perak dan 53 gangsa.
Kejayaan itu merupakan kali kelima Terengganu mengungguli temasya yang memasuki edisi ke-19, sekali gus mengetepikan Wilayah Persekutuan (52 emas, 38 perak dan 50 gangsa) dan Selangor (47 emas, 68 perak dan 67 gangsa).
Negeri Pantai Timur itu jelas mempertaruhkan sukan berbasikal, pelayaran dan olahraga sebagai penyumbang emas utama negeri itu.
Nur Aisyah Mohamad Zubir muncul atlet paling cemerlang dalam acara berbasikal apabila meraih tujuh pingat emas, manakala Azreen Nabila Alias mengungguli acara 100, 200 dan 4×100 meter untuk dinobat sebagai Olahragawati.
Sementara itu, majlis penutup Sukma 2018 turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diiringi Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Upacara menurunkan bendera Sukma 2018 dan penyerahan bendera Sukma 2020 kepada Johor sebagai tuan rumah dilakukan selepas ucapan aluan Ahmad Faizal dan Dr. Wan Azizah.
Hujan sejak petang nyata tidak melemahkan kira-kira 25,000 penonton untuk hadir menyaksikan majlis penutup yang terdahulu diserikan dengan persembahan akrobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), simfoni perpaduan yang mempamerkan persembahan gendang daripada pelbagai kaum serta persembahan kumpulan kesenian serta beberapa artis popular lain turut diadakan sejak pukul 5 petang.
Atlet memanah Sabah, Eugenius Lo Foh Soon dan ratu pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias dinobat sebagai Olahragawan serta Olahragawati Sukma 2018. – MalaysiaGazette