Home Politik Ada pihak cuba sabotaj PAU – Jamal

Ada pihak cuba sabotaj PAU – Jamal

Jamal Md Yunos
Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa ada pihak cuba mensabotaj Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 yang akan berlangsung hujung bulan ini.

Katanya, beliau ada mendengar desas-desus perbuatan sabotaj itu akan dibuat oleh kumpulan dari luar UMNO dengan tujuan agar parti itu dilihat bergolak setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini dah ada perancangan, tetapi maklumat awal yang diterima pihak pengurusan tertinggi parti telahpun mengambil langkah-langkah tertentu supaya tidak berlaku kecoh.

“Saya yakin pihak pengurusan UMNO telah berhubung dengan PDRM untuk memantau keadaan supaya PAU kali ini dilihat kucar-kacir,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.

Jamal berkata, kumpulan terbabit cuba menunjukkan kepada umum ketidakyakinan mereka untuk menerima kembali UMNO ekoran kekecohan yang akan ditimbulkan pada perhimpunan itu.

Strategi tersebut mampu membuahkan hasil ekoran pemimpin kerajaan yang ada pada hari ini adalah mereka yang pernah berada di dalam UMNO, katanya.

“Mereka pernah berada dalam parti ini dan tahu selok belok apa yang berlaku dalam UMNO,” ujarnya.

Sementara itu Jamal mengulangi akan ada lagi dalam kalangan pemimpin UMNO meninggalkan parti ekoran tekanan yang diterima selain janji-janji oleh pihak tertentu meskipun ia tidak pasti.

Beliau mendakwa, selain tekanan yang diterima daripada agensi-agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), langkah menggunakan taktik mahu menunjukkan kelemahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dijadikan senjata untuk melemahkan parti berkenaan.

“Mereka cari jalan selamat pergi ke sebelah sana (sokong kerajaan) kerana yakin semua kes, semua pendakwaan akan digugurkan malah, mendapat imbuhan lagi walaupun tidak ada hitam putih tetapi inilah cerita yang berlegar-legar,” ujarnya.

Terdahulu, Jamal hadir bagi mendengar tiga pertuduhan terhadapnya berhubung dakwaan kes melarikan diri daripada tahanan dan dua kes berasingan kerana menceroboh premis judi.

Kedua-dua kes itu dibacakan didua mahkamah berlainan dan didengar dua majistret iaitu Haslina A. Rauf dan Mohd Firdaus Saidina Ali.

Mahkamah menetapkan 22 Oktober untuk sebutan semula ketiga-tiga kes tersebut ekoran pihak pendakwa masih belum menyempurnakan kertas pendakwaan. – MalaysiaGazette