KUALA LUMPUR – Tidak wajar menggunakan istilah merangkak apabila mana-mana pemimpin UMNO mengadakan perjumpaan dengan pemimpin daripada parti lain, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya sebagai sebuah parti pembangkang, UMNO bebas untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan yang sedang memerintah.
“Bagi saya itu soal penggunaan istilah tapi kita harus menerima hakikat kita pembangkang dan kita bebas bertemu sesiapa sahaja bukan untuk rundingan tapi untuk memberikan penghormatan di kepimpinan UMNO serta rakan lain bertemu mana-mana pemimpin di luar komponen BN apatah lagi pemimpin parti pemerintah walaupun dengan parti yang memerintah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Tengku Razaleigh baru-baru ini.
Razaleigh yang pernah bertanding untuk jawatan Presiden pada pemilihan sebelum ini menyifatkan jalinan kerjasama UMNO dengan Pas tidak munasabah dalam masa yang sama parti itu tidak perlu ‘merangkak’ kepada parti lain.
Muktamar Pas yang lalu menyaksikan sejarah terukir apabila buat pertama kalinya Zahid beserta rombongannya turut hadir ke Kuala Terengganu pada 15 September lalu. -MalaysiaGazette