Home Nasional UPSR bukan suatu peperiksaan Lembaga Peperiksaan

UPSR bukan suatu peperiksaan Lembaga Peperiksaan

Murid-murid Tahun 6 menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Seri Bintang Selatan, Taman Shamelin, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2018
Murid-murid Tahun 6 menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Seri Bintang Selatan, Taman Shamelin, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 24 SEPTEMBER 2018

PUTRAJAYA – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan suatu peperiksaan pada peringkat persijilan sebaliknya ia merupakan satu titik pengukur menilai pencapaian murid dalam literasi, numerasi dan penaakulan di peringkat sekolah rendah, kata Lembaga Peperiksaan.

Justeru, Lembaga Peperiksaan berkata Kementerian Pendidikan berhasrat untuk mengurangkan penekanan terhadap peperiksaan dan tidak menjadikan UPSR sebagai penilaian yang berprestasi tinggi sehingga memberikan tekanan kepada murid, pihak sekolah dan ibu bapa.

“Fokus utama Kementerian Pendidikan terhadap UPSR adalah untuk melihat tahap penguasaan minimum murid setelah melalui pembelajaran selama enam tahun di sekolah rendah.

“Sehubungan dengan itu, liputan media secara besar-besaran dikhuatiri akan menyebabkan hasrat kementerian tidak dapat dicapai,” katanya.

Kenyataan itu juga menyaran pihak media dapat membantu Kementerian Pendidikan dengan menyampaikan maklumat tentang tujuan dan tarikh-tarikh penting sesuatu peperiksaan dilaksanakan termasuklah memberi kefahaman tentang sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan.

“Tiada majlis sidang media bagi pengumuman keputusan UPSR pada tahun ini,” katanya.

Seramai 440,743 calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR di 8,100 pusat peperiksaan di seluruh negara yang berlangsung pada 20 dan 24 hingga 27 Sept.

— BERNAMA