KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menyiasat pemilik akaun laman sosial Facebook iaitu Mohd Mozas yang memuat naik status penghinaan melampau terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihak berkuasa perlu mengenal pasti individu yang tidak diketahui kesahihan akaunnya itu untuk diambil tindakan tegas.
“Saya beri amaran kepada pengguna-pengguna Facebook, Instagram dan Whatsapp, jangan menggunakan laman sosial sewenang-wenangnya untuk menaikkan status maki hamun, penghinaan.
“Tindakan Mozas itu boleh mendatangkan kemarahan dan menjadikan perkara ini sesuatu yang biasa hingga tular dalam laman Facebook.
“Kami menggesa SPRM dan PDRM siasat kesahihan pemilik Facebook ini dan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.
Hadir sama membuat laporan polis itu ialah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Sebelum ini, seorang pengguna yang dikenali sebagai Mohd Mozas telah memuat naik kenyataan di akaun Facebooknya yang menghina Perdana Menteri ketujuh itu.
Kenyataan Mohd Mozas itu berbunyi, “Mahathir … dengar sini!! 75 peratus Melayu sekarang sedang mohon hang mampos esok! Haram jadah punya binatang!
Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook tersebut yang dilihat sebagai mengancam dan menghina Perdana Menteri.
Eddin, yang juga timbalan ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Negeri Sembilan, berkata ‘posting’ tersebut adalah fitnah dan provokasi, malah boleh dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan Perdana Menteri.
Abdul Rani juga menggesa netizen Facebook yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan hari ini agar tidak menggunakan media sosial untuk menghasut orang lain melakukan tindakan biadap tersebut.
“Kalau anda tidak puas hati, hantar surat memorandum, itu lebih baik daripada menggunakan akaun Facebook dengan memuat naik perkara yang boleh menghasut, penghinaan, fitnah, makian dan mencarut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette