KUALA LUMPURÂ – Langkah UMNO tidak menurunkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson 13 Oktober ini disifatkan sebagai tindakan terbaik kepada parti Melayu itu.
Bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Syed Hamid Syed Albar berkata, langkah itu selari dengan tahap kesediaan UMNO yang dilihat masih belum pulih sepenuhnya selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Saya fikir eloklah dia (UMNO) tak bertanding, bukan dia boikot, boikot seolah-olah kita tak puas hati, macam mana dia tak puas hati apa, dia tak sedia untuk bertanding, itu bagus.
“Saya fikir bagus kerana kalau parti yang dulunya kerajaan, belum bersedia, buang duit saja nak bertanding, tak berbaloi kalau nak bertanding kita tak bersedia lagi, tiada motivasi dan hala tuju,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis di Kampung Baru, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa Mesyuarat Biro Politik UMNO memutuskan untuk memboikot PRK Port Dickson kerana pertandingan itu hanya semata-mata memenuhi cita-cita politik individu.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan yang dilakukan bersama parti kompen Barisan Nasional (BN) termasuk MIC dan MCA.
Syed Hamid juga menegaskan, tindakan boikot UMNO itu sebenarnya tidak tepat kerana parti itu sendiri tidak bersedia dari segi dalaman untuk mengukuhkan parti selepas bergelar pembangkang.
“Saya fikir tidak tepat guna perkataan boikot PRK sebab dia tak ambil bahagian, itu saja, bukan boikot, boikot seolah-olah ada sesuatu yang haram, ini sah demokrasi dijalankan.
“Bak kata Tengku Raleigh yang UMNO tidak bersedia dan tidak mempunyai motivasi kalau nak bertanding di Port Dickson.
“Macam Khairy Jamaluddin kata, parti perlu menentukan hala tujunya, bila dalam keadaan begini, bertenang dulu, tak usah cakap apa-apa kalau tak perlu,” katanya.
Syed Hamid berkata, beliau tidak fikir Anwar boleh menang tanpa bertanding susulan Parti Islam SeMalaysia (Pas) masih belum mengumumkan pendiriannya di kerusi P132 berkenaan.
“Kalau Bebas bertanding dia kacau daun saja, sebab tiada parti besar, kalau Pas masuk kita tak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette