Home Utama Majikan tanggung sepenuhnya levi RM10,000 – Guan Eng

Majikan tanggung sepenuhnya levi RM10,000 – Guan Eng

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap pada sidang media berkenaan isu semasa di Kementerian Kewangan, Presint 2, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 SEPTEMBER 2018.
Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Kerajaan membuat u-turn dengan meminta majikan menanggung sepenuhnya pembayaran levi sebanyak RM10,000 setahun bagi tempoh tiga tahun bagi seorang pekerja asing yang telah bekerja di negara ini melebihi 10 tahun.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan sebelum ini mencadangkan supaya bayaran levi sebanyak RM10,000 itu dibuat dengan nisbah 80:20 yang mana pekerja perlu membayar RM8,000 setahun dan baki RM2,000 setahun ditanggung majikan.

“Hari ini saya membaca berita di akhbar Sin Chew yang menyatakan rungutan majikan yang mendakwa pekerja-pekerja asing mereka tidak mampu membayar levi sebanyak RM8,000.

“Mereka mahu cadangan tersebut dibatalkan.

“Kelonggaran telah diberikan. Bukan mudah untuk mendapat kelonggaran ini kerana sebelum ini, pekerja asing tidak dibenarkan tinggal di Malaysia melebihi tempoh 10 tahun.

“Mereka perlu pulang ke negara asal selepas tempoh 10 tahun dan membuat permohonan semula sebelum kembali bekerja di Malaysia namun kerajaan cuba membantu para majikan supaya pekerja-pekerja terlatih dapat terus bersama mereka untuk tempoh lanjutan tiga tahun lagi dengan syarat membayar levi sebanyak RM10,000 setahun,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, dengan penarikan semula kelonggaran tersebut, majikan kini perlu menanggung sepenuhnya bayaran levi sebanyak RM10,000 setahun bagi seorang pekerja.

Sekiranya enggan, para majikan boleh menghantar pekerja-pekerja tersebut pulang ke negara asal masing-masing selepas tempoh 10 tahun perkhidmatan di Malaysia tamat.

Semalam, kerajaan mengumumkan pekerja asing yang telah bekerja selama 10 tahun dan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) boleh melanjutkan tempoh pekerjaan di negara ini dengan bayaran levi sebanyak RM10,000 setahun.

Untuk rekod, levi pekerja asing masih kekal pada kadar RM1850 setahun untuk 10 tahun pertama. – MalaysiaGazette

Pekerja asing bayar levi RM8,000 tak masuk akal