Home Seni Hidup Pak Ngah selamat dikebumikan pada hari lahirnya ke-60

Pak Ngah selamat dikebumikan pada hari lahirnya ke-60

Megat Mohd Syahraini Suhaimi, 31 anak kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah menabur bunga mawar di pusara arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tiada siapa yang menyangka apabila komposer lagu irama tradisional Allahyarham Pak Ngah dikebumikan pada hari kelahirannya ke-60 tahun hari ini.

Apatah lagi Pak Ngah atau nama sebenarnya, Datuk Suhaimi Mohd. Zain rupa-rupanya telah merancang sambutan kelahirannya sebelum ini.

Impian tersebut didedahkan oleh anak Allahyarham, Siti Syafrina, 32.

Jelasnya, apa yang buat dia dan ahli keluarga lain terkilan kerana sepanjang hayat arwah, komposer berkenaan langsung tidak pernah merancang untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.

“Namun kali ini, arwah beriya-iya merancang segala-galanya sejak dari mula. Percutian kami sekeluarga ke Batam juga arwah yang aturkan dan kami hanya mengikut sahaja.

“Jumaat lalu, tiba di hotel penginapan di Tanjung Pinang, kami berehat sementara menunggu waktu makan malam.

“Arwah tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum dibawa ke sebuah hospital yang terletak berhampiran hotel,” ceritanya ketika ditemui di Masjid Jamek Kg Baru di sini hari ini.

MGF26092018_PENGKEBUMIANARWAHPAKNGAH_05
Jenazah Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah mengusung jenazahnya untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 SEPTEMBER 2018.

Siti Syarina memberitahu, selepas lima hari dirawat dan tidak sedarkan diri, doktor memberitahu keadaan Pak Ngah semakin lemah disebabkan penyakit paru-parunya berair, selain menghidapi komplikasi jantung.

“Sejak kebelakangan ini, arwah memang sering mengadu sakit dada namun datang sekali-sekala dan kembali stabil. Arwah juga ada penyakit kencing manis dan darah tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, jenazah Pak Ngah tiba di pekarangan masjid pada pukul 3.10 petang dan disambut penuh hiba kira-kira 500 ahli keluarga, sahabat handai, rakan artis, warga seni dan orang awam.

Selepas disembahyangkan, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang dan disemadikan bersebelahan pusara kedua-dua ibu bapanya selepas solat Asar.

Suasana hujan renyai dan mendung membuatkan mereka yang hadir menjadi sayu.

Antara selebriti yang memberikan penghormatan terakhir adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Datuk Ramli MS, Datuk Nassier Wahab, Datuk M. Nasir, Datuk Jalaluddin Hassan, Azmeer, Edrie Hashim dan Syura. – MalaysiaGazette