KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak membayangkan Bajet 2019 yang akan diumumkan pada awal November ini merupakan bajet defisit.
Ini bermakna hutang negara bertambah dan bukan dikurangkan.
Disebabkan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sudah memberi gambaran awal sejak minggu lalu bahawa kerajaan akan menerbitkan lebih banyak bon kerajaan.
Menerbitkan bon maksudnya meminjam wang dan ia adalah hutang.
Malah, Guan Eng juga memberitahu bahawa Bajet 2019 akan memotong banyak bantuan untuk rakyat atau mengenakan lebih banyak cukai baharu dengan alasan hutang negara sebanyak RM1 trilion perlu dilangsaikan, meskipun kenyataan dipertikaikan oleh ahli-ahli ekonomi.
Sebagai contoh apabila Guan Eng menperincikan bagaimana hutang sudah menjadi RM1 trilion dengan memasukkan RM201.4 bilion dari RM1 trilion ini bagi kos sewa dan penyelenggaraan.
Sedangkan soal bekas perdana menteri itu, siapa yang menyewa rumah atau pun pejabat pernah mengambil kira atau memasukkan kos itu sebagai hutang peribadi.
Jelas Najib, selama sembilan tahun beliau menerajui Kerajaan Barisan Nasional, rakyat tidak pernah diminta berkorban kerana ekonomi berkembang dan bantuan kepada rakyat bertambah.
“Tiba-tiba apabila Kerajaan PH mengambil alih dan mengubah polisi ekonomi Malaysia secara dasar, mereka mahu rakyat untuk bersedia berkorban.
“Kerajaan PH perlu terima hakikat bahawa polisi-polisi dan langkah-langkah sendiri yang telah menukar hala tuju ekonomi kepada arah yang lebih teruk dan akhirnya mahu rakyat berkorban ekoran dasar teruk itu.
“Dahulunya, kita ada Program Transformasi Negara yang begitu teratur dan berkesan,” kata Najib dalam satu kenyataan.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, masalah pokok kerajaan hari ini hingga kehilangan dana akibat memberi sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selama tiga bulan, mengembalikan subsidi dan pembatalan projek-projek.
Tindakan itu telah mengakibatkan kerajaan kehilangan dana sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun tidak termasuk wang input GST yang perlu dibayar balik kerana GST tiba-tiba disifarkan dan dimansuhkan.
Pembatalan projek-projek secara meluas juga menjejaskan kadar pertumbuhan ekonomi.
“Jika ditambah dengan langkah kerajaan untuk mengurangkan bantuan termasuk bayaran BR1M, maka ini akan menyebabkan aktiviti ekonomi di dalam negara akan menjunam sehingga Malaysia mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette