Home Nasional Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat digunakan, tiada tanah runtuh – JKR

Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat digunakan, tiada tanah runtuh – JKR

KUALA LUMPUR – Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (PT185 Seksyen 42), yang mengalami kejadian limpahan air dari atas bukit, selamat untuk dilalui dan dibuka sepenuhnya kepada kenderaan, demikian menurut Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam satu kenyataan hari ini, JKR mengambil maklum penularan klip video kejadian tanah runtuh yang didakwa berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands (PT185 Seksyen 42) sebenarnya tidak melibatkan tanah runtuh, sebaliknya adalah kejadian limpahan air dari atas bukit.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 3 petang semalam selepas hujan lebat sejak tengah hari ekoran limpahan air dari atas bukit yang menyebabkan tembok penahan mengalami kerosakan dan sebahagian daripada struktur tersebut runtuh.

“Laluan tersebut mula dibuka kepada trafik pada 4.30 petang dan dibuka sepenuhnya pada 7 malam,” menurut kenyataan itu.

JKR bersama syarikat konsesi penyelenggaraan jalan telah memasang papan tanda sementara di kawasan berkenaan dan pemantauan akan dibuat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai dilaksanakan.

Klip video berhubung kejadian tersebut tular di laman sosial sejak petang semalam dan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna jalan raya, khususnya yang ingin menuju dan berada di pusat peranginan Cameron Highlands