KUALA LUMPUR – Parti Rakyat Malaysia (PRM) memberi amaran awal kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden PKR itu bukan calon pilihan untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson 13 Oktober ini.
Calonnya, Ahmad Kamarudin berkata, pihaknya mengingatkan PKR supaya tidak memperlekehkan kewibawaan PRM walaupun parti itu tidak lama aktif dalam arena politik tempatan.
Ahli biasa PRM itu menganggap tiga calon Bebas yang merancang bertanding di Port Dickson bukan ancaman, termasuk Pas, mahu berdepan PKR satu lawan satu bagi mempersoalkan ideologi rakyat dan ‘panji panji’ merah dan perkataan ‘rakyat’ yang ‘diseludup’ PKR.
“Ingat wahai Anwar, jangan memperlekeh kami (PRM), warna merah yang merupakan panji panji kami adalah milik PRM dan begitu juga perkataan rakyat yang digunakan PKR sehingga kini.
“Kami masih aktif dan berdepan kamu untuk menuntut hak panji panji kami semula dan tidak gentar berdepan Anwar.
“Maka Pas tanpa pendirian tetap tiba-tiba umum bertanding adalah lebih baik berundur biar PRM satu lawan satu dengan PKR,” katanya dalam sidang media khas pengumumannya sebagai calon oleh Ketua Penerangan PRM, Tan Kang Yap di Dewan Perniagaan Cina KL dan Selangor Jalan Kampung Attap di sini.
Ditanya mengenai peluang menang berdepan Anwar kerana bukan calon dikenali ramai selain dijangkakan berdepan enam penjuru, Ahmad berkata, soalan sama perlu ditujukan kepada Anwar yang juga calon payung terjun atau lebih tepatnya orang luar.
Beliau yakin berpeluang menang dan meraih sokongan pemuda jika mengambil kira situasi semasa pengundi yang baharu sahaja dikejutkan dengan tiga PRK sejak Ogos lalu.
Bekas calon PRM Bukit Antarabangsa pada Pilihan Raya Umum ke-14 itu berkata, rakyat dikejutkan dengan pengosongan kerusi Port Dickson yang disengajakan dan demokrasi dipermainkan semata-mata politik melampau seorang individu.
“Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson secara tergesa-gesa dan bahaya disebabkan sifat gelojoh individu yang mahukan puncak kuasa negara serta alasan memantapkan agenda reformasi.
“Soalannya apakah ini bermakna mandat rakyat pada PRU lepas dan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri gagal membawa transformasi dalam kerajaan serta gagal mengetuai 40 wakil rakyat PKR,” soalnya.
Justeru tambah beliau, pengosongan kerusi Port Dickson hanyalah alasan lemah dan ke arah menghalalkan Anwar yang jelas merugikan suara demokrasi rakyat.
Katanya, rakyat memberi mandat kepada PH cuma mahukan perubahan dan harapan baharu dan tidak wujud keperluan rakyat untuk menukar perdana menteri dalam tempoh dua tahun.
“Rakyat cuma mahukan perubahan yang dijanjikan manifesto PH kepada mereka pada PRU lepas dan biar Tun Mahathir Mohamad dan barisan Kabinetnya melaksanakan tanggugjawab.
“Saya dari kaca mata sendiri berpendapat PRK ini tidak diperlukan hanya semata-mata ingin memenuhi keinginan seorang individu (Anwar) dan satu budaya politik tidak sihat.
“Bagi kami sama ada kerajaan terdahulu BN, atau kerajaan semasa PH ataupun Pas lebih kurang sama kerana mereka pada dasarnya melaksanakan ekonomi pasaran bebas.
“Maka Malaysia baharu yang dihebohkan PH sebenarnya tidak benar, oleh itu saya calon PRM akan membawa mesej kepada rakyat PD bahawa PRM lebih bersifat rakyat dan ke arah membina Malaysia baharu,” katanya.
Pada 12 September lalu Ahli Parlimen Port Dickson Danyal Jayagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan Anwar bertanding di kawasan tersebut.- MalaysiaGazette