PORT DICKSON – Bekas anggota tentera udara Leftenan Kolonel (Bersara) Mohd Nazari Mokhtar diangkat sebagai calon Pas mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pencalonan Yang Dipertua PAS Kawasan Tenggara, Johor itu di markas Induk Pas di Bukit Tembok, Pasir Panjang, di sini.
Turut hadir ke majlis pengumuman itu Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan, Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh, Pesuruhjaya Negeri Sembilan, Ustaz Mustafa Daharun, dan saf pimpinan sayap pemuda, muslimat serta ulamak.
Mohd Nazari berusia 57 tahun pernah berkhidmat di Tentera Udara Diraja Malaysia selama 28 tahun dari 1980 hingga 2008.
Beliau juga merupakan peneroka Felda Bukit Besar dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Strategi dan Pertahanan dari Dhaka, selain memiliki Diploma Pengurusan Keselamatan dan Aeroangkasa dari Tentera Diraja Australia dan Diploma Konflik Bersenjata dan Pembangunan Negara dari PBB, Kanada.
Dalam Pas, beliau memegang jawatan Pengerusi Penaja Lajnah Pertahanan & Kedaulatan Negara PAS Pusat (2016 – kini).
Mohd Nazari pernah menjadi calon Pas pada PRU ke-13 di DUN Pasir Raja, Parlimen Tenggara, Johor dan juga PRU 14 di DUN Panti.
PRK Port Dickson kali ini diramal sengit apabila menjangkakan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Parti Rakyat Malaysia, tiga calon bebas, Pas dan presiden PKR bersaing merebut kerusi itu.
Setakat ini Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong telah mengesahkan pencalonan.
PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu berundur sebagai wakil rakyat membolehkan Anwar bertanding untuk ke Dewan Rakyat.
Danyal menang kerusi itu pada PRU14 lalu dengan majoriti 17,710 menewaskan calon BN Datuk VS Mogan dan Pas Mahfuz Roslan. – MalaysiaGazette